Search

Kes Zara: MCMC siasat penyebar berita palsu, 3R

August 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat penyebaran kandungan di media sosial yang dikaitkan dengan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Menerusi satu kenyataan di Cyberjaya pada Ahad, MCMC berkata kandungan media sosial terbabit dipercayai mengandungi maklumat palsu dan bersifat 3R (Kaum, Agama dan Institusi Diraja).

Katanya, penyebaran perkara itu dikhuatiri boleh mencetuskan kekeliruan awam, selain menjejaskan kelancaran proses siasatan pihak berkuasa.

“Bagi membantu siasatan, individu terbabit telah dipanggil untuk sesi rakaman keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Cheras, Kuala Lumpur pada 9 Ogos 2025.

“Satu unit telefon bimbit dan satu keping kad SIM telah disita untuk
membantu siasatan. Kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).

“Akta ini memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” katanya.

MCMC mengingatkan orang ramai agar memberi ruang kepada proses siasatan yang sedang dijalankan dan berhati-hati dengan sebarang kandungan spekulasi yang boleh menimbulkan kekeliruan awam.

Jelas kenyataan suruhanjaya itu, penyebaran maklumat yang belum
disahkan bukan sahaja berisiko mengguris hati keluarga mangsa, malah bercanggah dengan nilai etika dan boleh mengganggu proses keadilan. – Info X