Search

Kes Zara: Peguam akan mohon kepada koroner dibabitkan dalam prosiding inkues

August 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peguam dilantik keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir akan akan memohon kepada koroner agar diberi peluang untuk terbabit dalam prosiding inkues bagi mengenal pasti punca kematian arwah Zara.

Menerusi satu kenyataan, di sini, peguam Shahlan Jufri, berkata permohonan itu selaras keputusan Jabatan Peguam Negara, hari ini yang mengarahkan agar satu inkues dijalankan berhubung kes kematian pelajar itu.

“Kami akan memohon dengan koroner agar kami diberi peluang untuk terlibat dalam prosiding inkues nanti.

“Kami berharap prosiding inkues akan berjalan lancar dan tamat dalam masa yang pendek. Keadilan bagi Zara adalah matlamat utama kami dalam semua tindakan yang kami lakukan,” katanya.

Dalam kenyataan yang sama Shahlan bersama rakan guamannya, Rizwandean M Borhan dan Mohd Luqman Syazwan Zabidi mengucapkan terina kasih kepada Jabatan Peguam Negara yang membuat keputusan bagi mengadakan inkues itu.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada Jabatan Peguam Negara yang telah membuat keputusan untuk menjalankan inkues selaras dengan peruntukan di bawah subseksyen 339(1) Kanun Tatacara Jenayah bertujuan menentukan punca dan sebab kematian termasuk mengenal pasti sama ada terdapat unsur jenayah atau sebaliknya dalam kematian Zara Qairina,” katanya.

Berikutan keputusan itu, katanya semua perkara yang mereka mohon daripada Jabatan Peguam Negara menerusi surat bertarikh 5 Ogos 2025 lalu telah dipenuhi.

Selain inkues, ada tiga perkara lagi yang dimohon mereka dalam surat itu dan sudah dilaksanakan iaitu, pengembalian kertas siasatan kes kematian Zara kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pengambilalihan siasatan oleh polis Bukit Aman dan penggalian semula kubur arwah Zara untuk bedah siasat bagi menentukan punca sebenar kematian. – Info X