Search

Kes Zara: Peguam minta saksi lain tampil

August 20, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Peguam keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir meminta saksi yang belum tampil supaya berbuat demikian bagi membantu siasatan kes kematian arwah.

Peguam Hamid Ismail, berkata setakat ini masih ada yang mahu berjumpa dengan pihaknya berhubung siasatan kes itu dan meminta agar mereka tampil ke hadapan.

“Mohon saksi yang masih ada, tolong keluar, itulah permintaan khas kami. Setakat ini ada yang masih mahu berjumpa dengan kami.

“Saya, secara peribadi, sudah dapat maklumat, tapi itu saya kena tapis. Setakat ini, ada beberapa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas prosiding di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini, pada Rabu.

Sementara itu, Hamid berkata pasukannya ketika ini menunggu tarikh pendengaran permohonan pihaknya untuk menjadi ‘interested party’ dalam prosiding inkues yang akan diadakan bermula 3 September depan.

“Kami menunggu tarikh pendengaran, mungkin dalam minggu ini,” katanya.

Beliau merujuk kepada permohonan yang dikemukakan selepas prosiding sebutan inkues yang diadakan di Mahkamah Koroner, di sini, pada Isnin lalu. – Info X