KOTA KINABALU: Peguam mewakili keluarga Allahyarham Zara Qairina Mahathir menjelaskan gambar memaparkan beliau bersama beberapa peguam dan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang ditularkan di media sosial dirakam pada Jun lalu.
Shahlan Jufri berkata, gambar itu tiada kaitan dengan kes kematian Allahyarham Zara Qairina dan menyifatkan cubaan pihak tertentu mengaitkan gambar itu dengan kes berkenaan sebagai fitnah berniat jahat.
“Gambar saya bersama YAB Ketua Menteri Sabah dan YB Menteri KPDN yang tular adalah gambar lama dirakam pada Jun 2025, langsung tiada kaitan dengan kes kematian Allahyarhamah Zara Qairina.
“Cubaan pihak tertentu mengaitkannya adalah fitnah berniat jahat untuk mengelirukan masyarakat.
“Saya tegaskan komitmen saya hanya kepada keadilan untuk Zara,” katanya menerusi perkongsian di Facebook beliau, di sini.
Gambar berkenaan tular sejak semalam, selepas selesai prosiding pendakwaan terhadap lima remaja yang dituduh mencela arwah Zara Qairina mengikut Seksyen 507C (1) Kanun Keseksaan di Mahkamah Kanak-Kanak, di sini, pada Rabu.
Prosiding itu turut dihadiri Shahlan bersama rakan guamannya, Hamid Ismail dan beberapa orang lagi, manakala Ram Singh yang berdiri di sebelah Hajiji dalam gambar itu bertindak sebagai peguam bela seorang daripada remaja terbabit.
Shahlan berkata, sepanjang mewakili keluarga arwah Zara, beberapa perkara utama yang dimohon pasukan guamannya dalam kes itu sudah dilaksanakan.
Perkara utama itu, katanya ialah penggalian semula kubur arwah Zara dan pelaksanaan post mortem dengan beliau sendiri berada di bilik bedah siasat selama lebih kurang lapan jam atas kehendak anak guam.
Selain itu, beliau berkata pihaknya juga memohon agar pelaku dikenakan hukuman yang lebih berat iaitu maksimum 10 tahun dan berjaya dalam permohonan inkues apabila ia dibenarkan dan kini sedang berjalan.
“Sebagai peguam saya bertindak tanpa takut atau pilih kasih, menegakkan proses adil serta integriti undang-undang.
“Saya tidak akan tunduk terhadap sebarang tekanan atau cubaan memesongkan dan menggangu perjuangan ini yang berlaku sejak dari hari pertama saya dilantik sebagai peguam Zara,” katanya. – Info X