KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara (AGC) menjelaskan keputusan mendakwa lima remaja dalam siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir mengikut Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan kerana pertuduhan terhadap mereka hanya merujuk kepada perbuatan buli.
Menerusi satu kenyataan pada Selasa, AGC berkata pertuduhan terhadap remaja terbabit tidak mempunyai kaitan dengan kematian Allahyarham Zara Qairina.
Jelas AGC, kenyataan peguam keluarga arwah Zara yang bimbang tertuduh tidak lagi boleh didakwa dengan seksyen lebih berat jika mengaku bersalah di bawah Seksyen 507C Kanun Keseksaan hanya bersifat spekulatif.
“Berdasarkan penelitian jabatan ini (AGC) terhadap kertas siasatan, pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dibuat kerana pertuduhan ini merujuk kepada perbuatan buli sahaja dan tidak mempunyai kaitan dengan kematian Zara Qairina.
“Kenyataan peguam di Perenggan 4 kepada Kenyataan Media tersebut (kenyataan peguam keluarga arwah Zara) adalah bersifat spekulatif tanpa disokong oleh fakta yang tepat.
“Oleh yang demikian, jabatan ini sekali lagi menegaskan bahawa pertuduhan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan di dalam kes ini adalah bersandarkan kepada bukti dan fakta yang diperoleh hasil daripada siasatan yang dijalankan,” katanya.
Kenyataan terbaharu AGC itu merujuk kepada Kenyataan Media bertarikh 19 Ogos 2025 yang dikeluarkan peguam lantikan Noraida Lamat, iaitu ibu arwah Zara Qairina, pagi tadi.
Ia mengenai permohonan pihak peguam untuk menangguhkan pendakwaan di bawah seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan dan cadangan pertuduhan pihak peguam di bawah seksyen 507D(2) Kanun Keseksaan.
Berikutan itu, AGC menjelaskan prosiding inkues masih perlu dijalankan bagi menentukan punca kematian sebenar Zara Qairina.
Seksyen 507D (2) Kanun Keseksaan yang dicadang peguam keluarga arwah Zara membabitkan kesalahan membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang menghina, mengugut atau mencela dengan niat memprovokasi hingga membawa kemudaratan termasuk berlaku cubaan bunuh diri atau membunuh diri dengan hukuman hingga 10 tahun penjara, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Sebaliknya, Seksyen 507C(1) Kanun Keseksaan tidak menyebut mengenai cubaan bunuh diri atau membunuh diri dengan hukuman hingga setahun, denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. – Info X