KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan sedang menyiasat sebuah akaun TikTok menggunakan nama @berjuanguntukzara kerana memuat naik kandungan tidak tepat dan tidak sahih berkaitan kes kematian Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Menurutnya, kesalahan itu membabitkan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian dengan memuat naik kandungan yang berpotensi menghasut kebencian terhadap mana-mana pihak, selain boleh menimbulkan kegusaran awam.
“PDRM menyeru orang ramai supaya menghentikan segera perbuatan tidak bertanggungjawab ini kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan, penularan kandungan yang tidak sahih itu berpotensi menjejaskan kelancaran serta keberkesanan proses siasatan oleh pihak PDRM.
Zara Qairina meninggal dunia pada 17 Julai lalu di Hospital Queen Elizabeth (HQE), Kota Kinabalu sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri di asrama sekolahnya di Papar.
Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan supaya mayat pelajar itu digali semula dan bedah siasat dilakukan pada Ahad lalu.
Mayat Zara Qairina dikebumikan semula di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi di Sipitang Isnin lalu. – Info X