Search

Kes Zara: Polis turut siasat luahan hati Zara dalam diarinya

August 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir turut membabitkan sebuah diari milik arwah yang diserahkan oleh guru kepada polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata diari setebal 51 halaman itu mengandungi luahan isi hati Allahyarham Zara sebelum meninggal dunia.

Katanya, diari itu antara lain mengandungi keterangan mengenai rakan seasrama dengan arwah Zara.

“Siasatan ini sampailah membawa kepada diari adik Zara diserahkan oleh guru kepada polis.

“Catatan 51 halaman yang memberikan luahan hati adik Zara pada momen-momen apakah masalah yang sedang dihadapi. Keterangan oleh rakan-rakan yang tinggal satu asrama dengan dia.

“Ya, apakah yang berlaku pada tarikh-tarikh 14 dan 15 hari bulan itu semua polis lengkapkan dalam siasatan.

“Dan polis kemudiannya cadangkan kepada peguam negara apakah hala tuju siasatan yang akan kita bawa,” katanya.

Beliau mendedahkan siasatan itu pada sesi penerangan mengenai kes Zara ketika Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, pada Isnin.

Saifuddin berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada elemen buli daripada membaca pertuduhan dalam siasatan berkenaan.

“Ya, saya nak sebut ada elemen buli. Jelas, sebab itu pihak kita juga sama. Tak boleh ada usaha ataupun percubaan menutup kalau ada elemen buli.

“Sekolah tempat yang patut jadi tempat selamat untuk anak-anak kita. Para pentadbir sekolah harus diingatkan kalau ada insiden ini bawa ke tengah.

“Sebab itu siasatan kita menjurus hala tujunya kepada elemen buli,” katanya.

Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam kenyataannya hari ini, berkata beberapa suspek buli dalam kes Zara akan didakwa.

Tindakan itu, katanya dibuat berdasarkan keterangan dalam siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina. – Info X