KOTA KINABALU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata siasatan kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir turut menyentuh aspek pengabaian dan gangguan seksual
Memetik laporan Berita Hatian, beliau berkata dua elemen itu, selain unsur buli dimasukkan dalam laporan siasatan kes berkenaan yang dihantar kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).
“Pentadbir sekolah harus diingatkan jika ada insiden sebegini dibawa ke tengah, itu sebabnya siasatan kita menjurus kepada elemen buli yang sudah dilengkapkan siasatan.
“Ada juga elemen pengabaian kerana adik ini (Zara) ada membuat aduan kepada pihak sekolah, kita siasat di bawah elemen pengabaian.
“Ada juga elemen gangguan seksual dan ini turut disiasat,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat di Kuala Lumpur, pada Isnin.
Sebelum ini, kes kematian Allahyarham Zara mendapat perhatian berikutan dakwaan berlaku unsur buli hingga membawa kepada kematiannya.
Arwah dilaporkan ditemui tidak sedarkan diri di halaman asrama sekolahnya di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMKA) Tun Datu Mustapha, Kinarut pada 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) sehari selepas itu. – Info X