KOTA KINABALU: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan tiada cucu Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman terbabit dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Beliau berkata, kes itu juga tidak membabitkan pengetua sekolah yang dikaitkan sebagai isteri menteri seperti didakwa sesetengah pihak sebelum ini.
Memetik laporan Berita Harian, Saifuddin berkata perkara itu adalah berdasarkan dapatan siasatan yang membabitkan seramai 195 saksi.
Katanya, siasatan juga tidak menemui sebarang bukti yang mengatakan mangsa meninggal dunia akibat didera dalam mesin basuh.
“Siasatan kita menyeluruh dan terperinci. Kali pertama isu ini dibangkitkan oleh ahli Parlimen pada 30 Julai lalu, sudah timbul beberapa kenyataan seperti (pelaku) yang terbabit adalah cucu kepada TYT, pengetua adalah isteri menteri dan cara mati didera di mesin basuh.
“Bagaimanapun, siasatan polis tidak menemui semua itu. Tiada hasil keterangan 195 saksi, tidak ada sama sekali,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat, pada Isnin.
Sebelum ini, Istana Seri Kinabalu dalam kenyataannya turut menafikan ada cucu Yang di-Pertua Negeri Sabah belajar di sekolah sama dengan arwah Zara.
Sementara itu, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud, sebelum ini juga mengeluarkan kenyataan menafikan isterinya adalah pengetua di sekolah terbabit pada masa ini.
Isteri beliau, Datin Rosnih Nasir menjadi pengetua di sekolah terbabit pada tahun lalu, bermula 10 Mac 2024 sebelum bersara pada 22 November 2024. – Info X