Search

Kesalahan sementara di talian sambungtara Kolopis – Segaliud punca gangguan elektrik di pantai timur

November 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Gangguan bekalan elektrik di tujuh daerah pantai timur Sabah bermula tengah hari tadi dikenal pasti berpunca daripada ‘kesalahan sementara’ di talian sambungtara 275 kilovolt (kV) Kolopis – Segaliud di Ranau.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Ir Mohd Yaakob Jaafar, berkata gangguan bekalan itu berlaku bermula jam 12.14 tengahari sebelum pemulihan
bekalan dapat dilaksanakan secara berperingkat bermula jam 2.03 petang.

Katanya, gangguan yang membabitkan pengguna di Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Semporna, Kunak dan Tawau itu bagaimanapun dapat dipulihkan sepenuhnya pada jam 5.24 petang tadi.

“Gangguan bekalan berpunca di talian nombor satu sambungtara 275kV Kolopis – Segaliud ketika Sabah Electricity sedang melaksanakan kerja-kerja pemulihan fasa akhir pemindahan pengalir daripada menara sementara Emergency Restoration System (ERS) ke menara kekal yang baru disiapkan bagi talian nombor dua.

“Ketika kejadian, hanya talian nombor satu sambungtara itu saja yang membekalkan 138 megawatt (MW) tenaga elektrik ke pantai timur Sabah.

“Siasatan untuk mengenal pasti punca talian sambungtara Kolopis – Segaliud itu terpelantik akibat ‘Transient Fault’ (kesilapan sementara) sedang giat dilakukan pasukan teknikal Sabah Electricity.

“Pemeriksaan di tapak akan disambung esok (Ahad) memandangkan cuaca buruk dan hujan lebat hari ini menghalang laluan masuk di sepanjang talian terbabit di Ranau,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, sejak Mac lalu, Sabah Electricity giat mempercepatkan pelaksanaan kerja-kerja penggantian dua menara 275 kV di alian sambungtara Kolopis-Segaliud di Ranau yang rosak akibat pergerakan tanah.

Tenaga kerja Sabah Electricity dan kontraktornya giat menyiapkan pemasangan menara talian sambung tara 275 kv di Ranau.

Katanya, kerajaan negeri, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sebelum ini membantu Sabah Electricity menghantar segera peralatan untuk proses penggantian menara terbabit.

“Usaha ini bagi memastikan kelangsungan bekalan elektrik ke pantai timur Sabah,” katanya.

Sementara itu, Sabah Electricty menghargai kesabaran dan keprihatinan pengguna di semua daerah yang terjejas dan memohon maaf atas gangguan bekalan yang berlaku. – Info X