Search

Keselamatan pemain dijaga – Shahelmey

May 9, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Keselamatan pemain diberi perhatian serius melalui langkah berjaga-jaga yang dilaksanakan Sabah FC khususnya menjelang sepak mula Liga Super 2024 / 2025 pada 12 Mei ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA), Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata aspek keselamatan pemain bagi mengelak perkara yang tidak diingini selain memastikan pemain tenang dan dapat memberi tumpuan kepada permainan.

Beliau menyifatkan tiga serangan menyasarkan pemain bola sepak yang dilaporkan di Semenanjung beberapa hari lalu sebagai sesuatu yang menyedihkan dalam sukan bola sepak dan tidak sepatutnya berlaku di negara ini.

“Kita juga terkejut dan rasa sedih terhadap tiga serangan yang berlaku setakat ini dan kita berharap perkara itu tidak lagi berlanjutan dan tidak akan berjangkit ke merata tempat.

“Dalam masa sama kita di Sabah mengambil langkah berjaga-jaga untuk memastikan bahawa keselamatan pemain kita berada dalam keadaan terkawal agar mereka merasa tenang dan boleh fokus untuk bermain dalam Liga Super yang bermula tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan jersi baharu Sabah FC yang dinamakan Tagap bagi perlawanan di tempat sendiri sepanjang aksi Liga Super musim ini.

Shahelmey yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah turut menasihatkan penyokong dan peminat bola sepak di negeri ini supaya mengelak menjadikan media sosial sebagai saluran menyebar berita tidak sahih yang menimbulkan provokasi hingga terjadi perkara tidak diingini terhadap pemain.

“Cerita di media sosial ini tidak berdasarkan fakta yang jelas dan lengkap, jadi apa yang saya dapat pesan kepada peminat bola sepak melalui kegiatan aktif mereka di media sosial cubalah bendung menyebarkan berita yang tidak jelas dan tidak sahih.

“Sama-samalah kita main peranan agar keselamatan dan pembangunan bola sepak di negara kita dapat dilaksanakan dalam keadaan baik dan profesional.

“Apa juga tuduhan dan provokasi itu tidak mendatangkan faedah kepada pembangunan bola sepak, malah ia akan menjadi perkara negatif, jadi saya berpesan kepada peminat sukan dan pengamal media sosial supaya turut main peranan menjadikan suasana yang positif,” katanya. – Info X