KOTA KINABALU: Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Asisten Komisioner Polis, Lam Thiam Huat meninggal dunia akibat penyakit kanser usus/perut, tengah malam tadi.
Mendiang Thiam Huat, 59, meninggal dunia di Hospital Likas, di sini, jam 12.49 tengah malam.
Jenazah mendiang akan dibawa ke Wisma Fook Lu Siew, Kota Kinabalu untuk upacara memperingati dan penghormatan terakhir selama tiga hari sebelum upacara pengebumian dijalankan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun dan timbalannya Deputi Komisioner Polis, Shahurinain Jais serta seluru warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mendiang menerusi Facebook rasmi Polis Sabah.
“Sesungguhnya, pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar buat pasukan khususnya warga PDRM Kontinjen Sabah,” katanya.
Mendiang berasal dari Sungai Petani, Kedah meninggalkan seorang isteri (berasal dari Sandakan) dan tiga orang anak.
Mendiang dilantik sebagai Ketua JSJN IPK Sabah pada 12 April 2021. – Info X