KOTA KINABALU: Seorang Ketua Penolong Pengarah di sebuah jabatan di Sabah dan Pengarah Eksekutif sebuah syarikat swasta ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki terbabit pemberian dan penerimaan rasuah berkaitan operasi perlombongan emas.
Kedua-dua suspek, masing-masing lelaki berusia lingkungan 60-an, dipercayai terbabit dalam beberapa transaksi wang antara mereka bagi memudahkan operasi perlombongan emas syarikat terbabit yang beroperasi di Tawau pada 2024 dan 2025.
Siasatan awal mendapati nilai suapan yang terbabit berjumlah RM18,000.
Sumber berkata, Ketua Penolong Pengarah berkenaan ditahan kerana disyaki menerima suapan, manakala Pengarah Eksekutif syarikat terbabit ditahan kerana disyaki memberi suapan berkenaan.
Menurutnya, kedua-dua suspek hadir di Pejabat SPRM Kota Kinabalu kira-kira jam 10 pagi hari ini bagi membantu siasatan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk TPj Mohd Fuad Bee Basrah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan 17(b) Akta SPRM 2009.-Info X