Search

Keuntungan SMJ Energy naik 40 peratus

April 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn Bhd (SMJ Energy), syarikat minyak dan gas milik kerajaan negeri mencatat peningkatan keuntungan 40 peratus kepada RM362 juta pada tahun lalu.

Menteri Kewangan yang juga Pengerusi SMJ Energy, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata keuntungan itu dicatat meskipun syarikat berdepan ketidaktentuan pasaran.

Katanya, RM362 juta itu adalah keuntungan selepas cukai sebelum diaudit bagi tahun berakhir pada 31 Disember 2024, berbanding keuntungan RM259 juta pada tahun sebelumnya.

“Ini mencerminkan prestasi yang kukuh walaupun syarikat berhadapan dengan pasaran tenaga global yang tidak menentu.

“Peningkatan prestasi ini didorong beberapa faktor utama, antaranya pengoptimuman aset strategik, pengurusan kos yang berdisiplin dan pertumbuhan hasil yang kukuh,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, hasil SMJ Energy juga menunjukkan lonjakan yang ketara, didorong sumbangan daripada beberapa aset utama syarikat.

Katanya, ia termasuk Kontrak Perkongsian Pengeluran Samarang (PSC), loji pencairan gas asli cecair (LNG) Train 9, Petronas Chemical Fertilizer Sabah Sdn Bhd (PCFSSB) dan Floating Production & Storage (FPSO) serta Floating Storage Operation (FSO) dari Sabah International Petroleum (SIP) yang bebas daripada hutang.

Jelasnya, kejayaan itu adalah hasil daripada dedikasi dan usaha keras pasukan profesional yang bekerja rapat dengan pihak berkepentingan utama, termasuk PETRONAS.

Masidi berkata, SMJ Energy juga memiliki portfolio yang seimbang, merangkumi sektor huluan, LNG, Petrokimia (Petchem) dan FPSO/FSO.

“Portfolio yang pelbagai ini memberikan kestabilan kewangan syarikat, memastikan ia tetap kukuh walaupun berdepan dengan situasi harga minyak yang rendah,” katanya.

Bagaimanapun, Masidi memberi peringatan agar syarikat sentiasa berwaspada terhadap perubahan luar yang boleh menjejaskan prestasi.

Beliau merujuk kepada ketidaktentuan pasaran global, termasuk perang tarif yang berterusan dan turun naik harga minyak, sebagai cabaran yang perlu dihadapi dengan hati-hati.

“Ketidaktentuan dalam pasaran minyak global menekankan betapa pentingnya kita mengekalkan pengurusan risiko yang proaktif dan strategi pelaburan yang berhati-hati,” katanya.

Di samping itu, Masidi berkata, SMJ Energy turut memberi perhatian terhadap pembangunan sektor perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas (OGSE) di Sabah.

“Syarikat ini berkomitmen untuk meningkatkan kandungan tempatan dalam sektor berkenaan tanpa mengabaikan aspek kos, keselamatan, kualiti dan jadual kerja.

“Pada tahun lalu, SMJ Energy memperuntukkan kerja bernilai RM2 bilion kepada syarikat-syarikat Sabah, berbanding hanya RM613 juta pada 2021,” katanya. – Info X