KOTA KINABALU: Sebuah kilang dan kuarters pekerja pemeliharaan ikan air masin musnah terbakar di Kampung Kuala Sepanggar, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, turut memusnahkan sebuah kenderaan pacuan empat roda namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Agustavia Joe Guasi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.14 pagi.
Katanya, seramai 30 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari BBP Lintas, Kota Kinabalu dan Tuaran dikejarkan ke lokasi kebakaran.
“Sebaik tiba, didapati kebakaran membabitkan sebuah kilang pemeliharaan ikan air masin dan kuarters pekerja.
“Kerja memadamkan api terus dilakukan membabitkan kemusnahan terbakar sepenuhnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam kebakaran dan api berjaya dikawal pada jam 8.30 pagi.
“Punca kebakaran dan nilai kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X