Search

Kim Swee nafi Sabah FC ada masalah dalaman

November 8, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee menafikan berlaku masalah dalaman membabitkan pasukan bimbingannya seperti didakwa beberapa pihak berdasarkan khabar angin yang tersebar di media sosial.

Beliau berkata, kebenaran itu dapat dilihat berdasarkan prestasi pasukan Sabah FC ketika ini yang tidak menampakkan apa-apa tanda bahawa ia sedang dilanda masalah dalaman

“Kalau kita lihat prestasi kita, saya tidak nampak ada masalah (dalaman). Apa yang penting di sini, semua pemain menunjukkan satu semangat yang cukup positif bukan saja dalam latihan tetapi juga dalam perlawanan.

“Jadi apa yang kita dengar di luar itu, kita harus pastikan sebelum kita mengatakan sesuatu,” katanya pada sidang media Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2023 bagi perlawanan kedua Kumpulan H, Sabah FC menentang Hai Phong FC, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan berlaku masalah dalaman membabitkan Sabah FC yang mungkin memberi kesan kepada pemain, termasuk aksi Piala AFC.

Sabah FC ketika ini berada di tangga kedua Kumpulan H aksi Piala AFC 2023 di belakang Hai Phong FC, manakala tangga kelima daripada 14 pasukan dalam carta Liga Super 2023.

Berdasarkan khabar angin, Sabah FC didakwa berdepan masalah kewangan yang menjejaskan pembayaran gaji pemain, khususnya Bawah 23 (B23), menjadikannya pasukan terbaharu terpalit dengan isu itu selepas Negeri Sembilan FC, Kedah Darul Aman FC dan KL City FC.

Situasi itu membimbangkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berikutan kemungkinan ia akan menjejaskan jumlah pasukan yang bertanding dalam Liga Super musim depan.

Sebelum ini, Kim Swee berkata kerajaan negeri perlu membantu pasukan kelab bola sepak negeri dan pasukan bawahan lain dari segi kewangan bagi mengatasi kekangan yang dihadapi setiap pasukan.

Katanya, sokongan kewangan kerajaan negeri diperlukan untuk memastikan program pembangunan bola sepak negeri berjalan lancar seperti yang dirancang. – Info X