Search

Kimanis kembali catat udara tidak sihat

March 23, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kimanis bersama satu lagi lokasi di Sabah kembali mencatat Indeks Pencemaran Udara (API) tidak sihat dengan bacaan melebihi 100 atau tahap kuning sejak pagi tadi.

Setakat jam 1 tengah hari tadi, bacaan API di Kimanis mencecah159, manakala satu lagi kawasan ialah Politeknik Kota Kinabalu di Sepanggar dengan bacaan 152.

Berdasarkan maklumat yang dipaparkan di laman sesawang Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS), hanya dua lokasi itu mencatat bacaan API tidak sihat di seluruh negara.

Bacaan API tidak sihat di Kimanis direkodkan sejak semalam sebelum turun sekejap ke paras sederhana pada tengah malam tadi, tapi meningkat semula ke paras tidak sihat bermula awal pagi tadi.

Kualiti udara di kawasan itu merosot sejak beberapa minggu lalu disebabkan kebakaran terbuka termasuk di daerah berhampiran disebabkan keadaan cuaca yang panas dan kering.

Kebakaran hutan dan lalang ketika cuaca panas dan kering sekarang punca utama kualiti udara merosot.

Sementara itu, kawasan lain di Sabah kebanyakannya mencatat bacaan di bawah 100 dengan dua kawasan pada tahap sederhana atau hijau, manakala dua lagi pada tahap baik atau biru dengan bacaan API di bawah 50.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Sabah sebelum ini melaporkan peningkatan kejadian kebakaran hutan, lalang dan belukar, berikutan cuaca panas dan kering yang berpanjangan, khususnya di kawasan pantai barat Sabah.

Setakat pertengahan bulan ini, lebih 900 kes kebakaran hutan, lalang dan belukar dilaporkan sejak Januari lalu dengan daerah Tuaran, Kota Belud, Kota Kinabalu dan daerah lain di pantai barat, termasuk Papar dan Kimanis antara kawasan yang mencatat banyak kes. – Info X