PENAMPANG: Lebih 100 penghantar makanan atau ‘food rider’ diraikan melalui sumbangan mencuci motosikal mereka secara percuma di KK Auto Detailer Sdn Bhd di Jalan Bundusan, di sini, hari ini.
Program amal yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu, KK Auto Detailer Sdn Bhd turut memberi hadiah baju hujan dan minuman kepada penghantar makanan.
Selain itu, makanan burger percuma turut diberikan kepada penghantar makanan yang disumbangkan oleh Grill Patio.
Pengurus KK Auto Detailer Sdn Bhd, Mclaren Zang Ming Hui berkata, program amal ini adalah bagi menghargai dan menghulurkan hadiah kepada penghantar makanan kerana mereka juga adalah golongan barisan hadapan (frontliners) dalam memberi khidmat kepada masyarakat.
“Sempena perayaan Hari Natal yang bakal tiba, kami berbesar hati memberikan rider sedikit penghargaan dengan memberikan khidmat cucian motor secara percuma.
“Kami juga memberikan hadiah berbentuk baju hujan berikutan keadaan cuaca yang kerap hujan sejak kebelakangan ini,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Menurutnya, pihak syarikat KK Auto Detailer akan memperluaskan lagi program amal seumpama kepada kenderaan perkhidmatan e-hailing khususnya.
“Dalam masa terdekat, kita juga akan memberikan perkhidmatan cucian kereta secara percuma beserta sedikit hadiah bagi menghargai khidmat dan jasa mereka sebagai frontliners.
“Usaha ini juga adalah bagi membantu memastikan khidmat mereka sampai kepada masyarakat tanpa mengira masa,” katanya.
Tambahnya pihak KK Auto Detailer Sdn Bhd juga berharap supaya sumbangan yang diberikan kepada semua food riders akan memastikan mereka terus komited dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada semua pelanggannya.
Sementara itu, salah seorang rider, Muhammad Nurdin Sazali berkata, sebaik mengetahui program ini, dia bergegas ke premis KK Auto Detailer Sdn Bhd seawal jam 9 pagi.
“Saya mengetahui program ini daripada rakan penghantar makanan lain pagi ini dan kebetulan saya berada di sekitar kawasan Bundusan untuk menghantar pesanan sebelum pergi ke premis ini.
“Saya gembira terdapat pihak peniaga yang bermurah hati mengadakan program amal bagi menghargai golongan penghantar makanan.
“Ini adalah kali pertama saya mendengar program amal seperti ini sejak menjadi penghantar makanan bermula 2020 lalu,” katanya.
Tambahnya, mereka juga bersyukur dapat memberi perhatian dan membersihkan motosikal kerana berdepan kekangan masa menyempurnakan pesanan pelanggan.

“Setiap hari kami perlu melaksanakan kira-kira 15 sesi penghantaran pesanan dan kami tidak ada masa untuk singgah ke kedai mencuci kereta bagi membersihkan motosikal.
“Baju hujan yang diberi juga dapat digunakan untuk mengelak daripada dibasahi semasa hujan,” katanya.
Dalam pada itu, Salihin Abdul Dulamit berkata, program amal itu diketahui dari laman sosial Facebook Info-X sehari sebelum program dijalankan.
“Saya tidak melepaskan peluang berharga ini kerana ia bukan sahaja menghargai jasa penghantar makanan tetapi juga mengutamakan penjagaan keselamatan motosikal yang digunakan saban hari mencari rezeki di jalan raya.
“Kami berterima kasih dengan inisiatif KK Auto Detailer Sdn Bhd ini dan saya harapkan lebih ramai lagi pihak akan melakukan program sama bagi menghargai golongan penghantar makanan atau perkhidmatan sama seperti kami,” katanya. – Info X