Search

KM senaraikan projek bekalan air yang siap, bakal siap di bawah GRS

October 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: “Ada yang petik nama saya setiap hari kenapa lambat siap, tapi kami tiada kayu sakti, buat hari ini esok terus siap,” kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor merujuk isu air yang sering dibangkitkan pelbagai pihak di Sabah ketika ini.

Menerusi perkongsian di Facebook Ketua Menteri, beliau berkata, walaupun tiada ‘kayu sakti’ sudah banyak projek untuk menambah baik bekalan air di seluruh Sabah yang siap dan bakal siap tidak lama lagi.

“Namun begitu saya senaraikan antara sebahagian projek air yang sudah siap untuk tatapan semua,” katanya.

Dalam perkongsiannya, Hajiji menyenaraikan projek bekalan air yang siap sepanjang tempoh lima tahun pentadbiran kerajaan negeri sekarang yang diketuainya.

Projek yang sudah siap, katanya ialah Menaik Taraf Loji Rawatan Air (LRA) Simpangan, Kota Marudu (siap Mac 2023), Projek LRA Kundasang (siap Nov 2023), Skim Bekalan Air Kecemasan (UWSS) LRA Telibong I (siap Jan 2023) dan UWSS LRA Telibong II (siap Feb 2024).

Turut siap, katanya ialah ⁠UWSS LRA Kasigui (siap Ogos 2025), LRA Beaufort II (siap 2021), Bekalan Air Luar Bandar (BALB) LRA Dewata, Lahad Datu (siap 2024), LRA Semporna (siap 2021), LRA Apin-Apin, Keningau (siap 2022), LRA Ulu Mamut, Ranau (siap 2025) dan naik taraf LRA Kasigui (siap 2025).

“Ini antara penyelesaian yang sudah siap dan sedang dilaksanakan, tidak termasuk beberapa lagi dalam perancangan dan akan mula dilaksanakan.

Antara projek bekalan air yang dilaksanakan di bawah GRS.

“Jadi kalau ada individu yang berulang-ulang meratib boleh selesaikan masalah air dalam masa setahun itu, mungkin ini yang dimaksudkan beliau,” katanya.

Katanya, sebelum ini ada yang bercerita mengenai penyelesaian bekalan air dalam masa setahun yang bermaksud selesai pada 2026.

“Saya fikir mungkin yang dimaksudkan adalah antara penyelesaian yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan GRS selama ini.

“Mari saya bantu jelaskan antara beberapa penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang yang dilakukan oleh Kerajaan GRS,” katanya.

Hajiji berkata antara projek jangka panjang yang dilaksanakan ketika ini ialah LRA Kogopon II Papar yanh dijangka siap pada 2026, empangan air Cinta Mata Tawau yang dijangkakan siap pada 2026 dan LRA Telibong II Fasa II yang sudahpun siap.

Selain itu, katanya turut dilaksanakan ialah Projek Hidroelektrik dan Skim Bekalan air Ulu Padas yang dijangka siap pada 2030 (penyelesaian jangka panjang) dengan kapasiti 6,000 kita liter sehari (MLD) untuk kawasan Pantai Barat Sabah.

Pada masa sama, katanya sistem Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Pitas sudah hampir siap, begitu juga LRA Tuaran yang turut hampir siap.

Selebihnya ialah menaik taraf sistem pembinaan lima buah tangki simpanan di Sandakan yang dijangka siap pada 2026, sistem Bekalan Air Luar Bandar (BALB) Lahad Datu yang dijangka siap pada 2026 dan Bekalan Air Luar Bandar Sistem Retikulasi di Semporna yang dijangka siap pada 2026.

Turut dilaksanakan, katanya ialah projek muka sauk baharu LRA Limbahau, Papar yang dijangka siap pada 2027 dan LRA baharu Pulau Banggi yang dijangka siap pada 2028 atau 2029. – Info X