Search

Kodok Gunung Kinabalu yang dikhuatiri pupus akibat gempa bumi ditemui semula

May 8, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sekumpulan penyelidik dari Institut Biologi Tropika dan Konservasi (ITBC), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Taman-Taman Sabah menemui semula kehadiran Kodok Anak Sungai Mesilau, Kundasang yang dikategorikan sebagai terancam, baru-baru ini.

Spesies kodok Ansonia guibei yang menghuni Gunung Kinabalu itu sebelum ini mudah ditemui, namun dibimbangi pupus selepas gempa bumi kuat pada 2015 yang memusnahkan habitat haiwan berkenaan.

Satu kajian di Mesilau pada 2017 gagal mengesan sebarang spesimen haiwan itu menyebabkan spesies berkenaan disenaraikan sebagai haiwan terancam yang kritikal oleh International Union for Conservation of Nature (IUCN).

Dengan dana daripada Asian Species Action Partnership (ASAP), satu kajian baharu dilaksanakan pada akhir tahun lalu yang diketuai Prof Madya Dr Evan Quah dari ITBC, UMS bagi menilai semula status spesies berkenaan.

Tanah runtuh masih berlaku di kawasan tebing sepanjang aliran Sungai Mesilau, Kundasang. – Foto/UMS

Pada September 2023, kumpulan penyelidik itu gembira apabila menemui semula satu spesimen Kodok Anak Sungai Mesilau separuh dewasa, selain berudu kodok berkenaan di Sungai Mesilau dan anak Sungai Tibabar.

Penemuan itu disifatkan sebagai sesuatu yang mengujakan memandangkan ia bukan saja menandakan spesies berkenaan selamat, malah membiak.

Menerusi satu kenyataan, di sini, Evan berkata pasukan penyelidik terus memantau kehadiran kodok berkenaan di Mesilau bagi mendapatkan lebih banyak data ekologi bagi spesies itu selepas gempa bumi.

Prof Madya Dr Evan Quah

Katanya, spesies kodok berkenaan masih berdepan banyak ancaman, termasuk mempunyai julat yang sangat terhad dan hanya terhad kepada kawasan tadahan air Mesilau di Gunung Kinabalu yang menjadikannya terdedah kepada sebarang perubahan besar alam sekitar.

“Kedua, data awal yang dikumpul menunjukkan habitat kodok itu belum pulih sepenuhnya selepas gempa bumi pada 2015. Tanah runtuh masih kerap berlaku terutama ketika musim hujan.

“Air larian dan kelodak daripada tanah runtuh menjejaskan kualiti air di laluan air yang menjadi tempat kodok membiak.

“Akhir sekali, sama seperti endemik pergunungan yang lain, Kodok Anak Sungai Mesilau juga berdepan ancaman perubahan iklim.

“Sebagai spesies yang menghuni kawasan sejuk dan lembab di tanah tinggi, ia terdedah kepada perubahan yang dibawa pemanasan iklim,” katanya.

Berudu Ansonia guibei.- Foto/UMS

Berikutan itu, katanya data yang dikumpulkan menerusi kajian yang sedang dijalankan sangat penting dalam melaksanakan pelan konservasi bagi memastikan kesinambungan hidup spesies berkenaan.

Katanya, maklumat lengkap mengenai penemuan itu badu saja diterbitkan dalam jurnal Zootaxa pada minggu ini. – Info X