KOTA KINABALU: Operator ladang diarah memastikan struktur kolam yang dibina di kawasan mereka tidak menjadi ‘perangkap maut’ hidupan liar, khususnya gajah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Arifin, mengingatkan sebarang pembinaan kolam berhampiran habitat hidupan liar itu perlu dipastikan mempunyai tebing yang landai.
Peringatan itu berikutan penemuan 11 ekor gajah termasuk satu anak gajah terperangkap dalam kolam di sebuah ladang kelapa sawit dekat Hutan Simpan Deramakot di Kinabatangan, baru-baru ini.
“Insiden ini menjadi satu peringatan penting bahawa kolam, parit dan struktur berbahaya lain dekat koridor hidupan liar berterusan mendedahkan mereka kepada bahaya, khususnya gajah pigmi Borneo yang begitu ikonik dan dilindungi sepenuhnya.
“Jabatan Hidupan Liar juga sudah mengarahkan operator ladang untuk memastikan bahawa struktur kolam yang sama tidak dibina tanpa langkah mitigasi yang betul.
“Jika perlu membina kolam, sekurang-kurangnya satu bahagian tebing dibuat landai bagi membolehkan hidupan liar melepaskan diri dengan selamat jika ia jatuh ke dalam kolam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, ada kemungkinan juga gajah terbabit masuk secara sukarela ke kolam terbabit disebabkan cuaca panas, berikutan sifat mamalia itu yang memerlukan air untuk menyejukkan badan.
Katanya, Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) akan bekerja rapat dengan operator ladang, komuniti tempatan dan rakan konservasi bagi mengukuhkan langkah perlindungan hidupan liar.
Pendekatan itu juga, katanya bagi memperbaiki keupayaan tindak balas rapid dan memastikan aktiviti pembangunan berdekatan koridor ekologi dilaksanakan secara mapan dan bertanggungjawab.
“Melindungi biodiversiti Sabah adalah tanggungjawab bersama. Kejayaan menyelamat gajah ini menunjukkan pentingnya laporan awal, kerjasama dan komitmen bersama dalam memastikan spesies terancam ini terus berkembang untuk generasi akan datang,” katanya.
Sementara itu, Jafry menyatakan penghargaannya terhadap tindakan pantas dan profesional pihak JHLS, field rangers, pekerja ladang dan semua pihak yang terbabit dalam menangani kes gajah terperangkap dalam kolam, baru-baru ini.
Katanya, berdasarkan maklumat JHLS, kejadian itu berlaku di kawasan ladang, namun tidak jelas sama ada gajah terbabit masuk sendiri ke dalam kolam atau terjatuh.
Bagaimanapun, katanya pihak JHLS dan pengurusan ladang mengambil tindakan pantas dengan meratakan tebing kolam bagi membolehkan gajah terbabit melepaskan diri sekali gus dapat diselamatkan tanpa sebarang kecederaan atau kematian. – Info X