KOTA KINABALU: Tan Sri Datuk Seri Panglima Anifah Aman melahirkan rasa terkejut dengan tindakan membuat laporan polis bagi membantah cadangan penganjuran konsert penyanyi Gospel Kristian, Israel Houghton, di Kota Kinabalu.
Bekas Menteri Luar itu berkata, perkara berkenaan mengejutkan kerana Sabah sejak dahulu lagi menjunjung tinggi nilai toleransi, dengan masyarakat pelbagai agama hidup bersama dalam suasana aman dan harmoni.
Katanya, umat Islam, Kristian, Buddha, Hindu, Sikh serta penganut agama lain sudah sekian lama hidup secara bersama tanpa menjadikan perbezaan agama sebagai penghalang kepada keharmonian masyarakat.
“Justeru, apabila laporan polis dibuat bagi membantah penganjuran sebuah konsert Kristian yang menampilkan seorang penyanyi Kristian dan ditujukan kepada penonton Kristian, perkara ini sememangnya mengejutkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Anifah berkata, beliau difahamkan Israel Houghton sebelum ini pernah menyuarakan sokongannya terhadap Israel menerusi media sosial.
Bagaimanapun, katanya, beliau turut mengingati sebuah kumpulan muzik heavy metal yang secara terbuka menyatakan sokongan terhadap Israel pernah membuat persembahan di Stadium Bukit Jalil pada bulan lalu.
“Jadi, mengapa wujud layanan yang berbeza? Adakah kerana sikap tidak bertoleransi terhadap agama kini mula menular dalam masyarakat kita?” katanya.
Anifah berkata, ketika beliau menjadi Menteri Luar, Malaysia pernah menerima atlet dari pelbagai negara untuk menyertai temasya sukan seperti Sukan ASEAN dan Sukan Asia, termasuk sebahagian atlet yang merupakan penyokong Israel.
Menurutnya, kerajaan ketika itu mengambil pendirian jelas bahawa atlet terbabit dibenarkan memasuki Malaysia dengan syarat mereka menghormati sensitiviti tempatan dan tidak mengibarkan bendera Israel.
Sehubungan itu, beliau berpandangan sekiranya pihak berkuasa dan agensi penguatkuasaan undang-undang dapat memastikan Israel Houghton mematuhi undang-undang tempatan serta tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan atau menyinggung sensitiviti masyarakat setempat, tiada alasan untuk menghalangnya daripada membuat persembahan di Sabah.
“Jika langkah-langkah munasabah dapat diambil bagi mengelakkan sebarang provokasi, saya tidak melihat mengapa beliau perlu dihalang daripada membuat persembahan di Sabah,” katanya.
Anifah berkata, konsert berkenaan juga bukan bertujuan menyebarkan agama Kristian dalam kalangan umat Islam kerana ia dinyatakan sebagai acara untuk penganut Kristian.
Beliau turut menjelaskan bahawa agama Kristian mempunyai pelbagai denominasi, manakala Israel Houghton mempersembahkan muzik Gospel yang lazim dalam kalangan banyak denominasi Protestan dan Reformed yang sudah lama bertapak di Sabah.
“Sebelum ini, perkara seperti ini tidak pernah menjadi masalah bagi kita.
“Kita tidak seharusnya menjadikannya satu masalah sekarang,” katanya.
Anifah pada masa sama mengingatkan supaya isu berkenaan tidak dijadikan ruang untuk membawa politik agama yang bersifat tidak bertoleransi ke Sabah.
“Jangan bawa politik agama yang bersifat tidak bertoleransi ke Sabah,” katanya.-Info X