Search

Kontraktor Lebuhraya Pan Borneo diarah baiki segera jalan rosak di Lumadan

January 14, 2026

Info X Reporters

BEAUFORT: Kontraktor Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Pakej 2 yang membabitkan jajaran Kampung Melalia, Sipitang ke Beaufort diarah menyegerakan pembaikan jalan rosak yang menjejaskan keselesaan pengguna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, berkata pembaikan perlu dilaksanakan segera terutama di laluan Batu 5 hingga Batu 7, yang kini dalam keadaan kritikal akibat kerosakan teruk dan menerima banyak aduan daripada rakyat.

“Kontraktor terlibat perlu melaksanakan pembaikan segera di laluan kritikal bagi mengurangkan risiko kemalangan pengguna jalan raya sementara menunggu penurapan penuh laluan Lebuhraya Pan Borneo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan sesi lawatan tapak projek bersama Jabatan Kerja Raya (JKR), perunding dan kontraktor di laluan berkenaan, di sini, pada Selasa.

Sementara itu, Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, berkata kontraktor yang gagal menyiapkan kerja-kerja pembinaan LPB akan diserahkan kepada JKR untuk dinilai semula termasuk tindakan selanjutnya mengikut perjanjian kontrak.

Kelewatan projek Lebuhraya Pan Borneo menjejaskan pengguna.

“Kerajaan telah menyalurkan peruntukan dan melantik kontraktor. Sekarang adalah giliran kontraktor untuk bertanggungjawab.

“Jika mereka gagal, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya melalui JKR,” katanya.

Projek LPB Pakej 2 sepanjang 34.7 kilometer setakat ini baru mencapai kemajuan 62.5 peratus dan berdepan kelewatan akibat faktor cuaca, pengambilan tanah dan isu teknikal.

Kelewatan berkenaan menjejaskan pengguna jalan raya di laluan berkenaan berikutan keadaan jalan sedia yang rosak dan tidak dibaiki kontraktor.

Dalam pada itu, Ruslan menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan kritikal itu, khususnya pada musim hujan.

Laluan berkenaan, katanya sering dilanda banjir jika hujan lebat sekali gus menjejaskan pengguna jalan raya yang melalui jalan berkenaan.

“Saya akan terus memantau projek ini secara langsung sehingga jalan ini benar-benar selamat digunakan,” katanya. – Info X