Search

Koperasi di Sabah digalak sertai aktiviti agro makanan

April 21, 2024

Info X Reporters

PAPAR: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggalakkan penubuhan koperasi di Sabah yang terbabit dalam aktiviti pertanian, penternakan, perladangan dan aktiviti lain di bawah sektor agro-makanan.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata kementeriannya memandang penting pembabitan koperasi dalam sektor agro-makanan bagi membantu usaha kerajaan meningkatkan rantaian bekalan dan keterjaminan makanan.

Katanya, isu keterjaminan makanan termasuk bekalan beras dan pedaging yang menjadi keperluan rakyat adalah antara perkara yang perlu diberikan keutamaan dan wajar terus dikembangkan.

Beliau berkata, selaras dengan komitmen membantu kerajaan dalam isu keterjaminan makanan, kementeriannya melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyediakan pembiayaan di bawah Tabung Modal Pusingan dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM100 juta.

“Kemudahan ini adalah satu inisiatif kerajaan melalui KUSKOP untuk membantu menangani isu rantaian bekalan dan keterjaminan makanan melalui gerakan koperasi.

“Justeru, saya menggalakkan masyarakat agar dapat memulakan penubuhan koperasi setempat mereka dalam aktiviti pertanian, penternakan, perladangan dan aktiviti lain di bawah sektor agro-makanan,” katanya ketika lawatan ke tapak ternakan ayam Koperasi Kinabalu Lestari Berhad (KOKINA) di Kampung Mook, Kinarut, di sini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha KUSKOP, Datuk Zamri Salleh; Ahli Lembaga Pengarah SKM, Datuk Wong Thien Fook dan Pengarah SKM Sabah, Mathias Kundapin.

Ewon bersama pegawai kementerian dan SKM melawat tapak ternakan ayam Koperasi Kinabalu Lestari Berhad (KOKINA) di Kampung Mook, Kinarut.

Mengenai lawatan itu, Ewon menyatakan kebanggaan beliau berikutan pencapaian KOKINA yang baru ditubuhkan tahun lalu dalam pembangunan ternakan ayam pedaging menggunakan modal syer anggota koperasi.

Katanya, sepanjang tahun lalu SKM mendaftarkan 1,001 koperasi baharu, menjadikannya yang terbanyak dalam sejarah pendaftaran koperasi di negara ini.

“Namun, sudah tentu saya akan lebih bangga dan gembira sekiranya koperasi-koperasi ini sudah boleh memulakan perniagaan dan perkhidmatan mereka sebaik ditubuhkan.

“KUSKOP dan agensi-agensinya termasuk SKM sudah tentu mahu membantu. Koperasi yang sudah mulai berniaga mempunyai justifikasi yang lebih besar untuk kita bantu bagi mengembangkan perniagaan mereka.

“KOKINA sudah memulakan pembinaan kandang ternakan ayam pedaging dengan kos sebanyak RM450,000 menggunakan modal syer anggota mereka. Daripada taklimat KOKINA, projek ini sudah siap 70 peratus dan bakal memulakan kitaran pertama ternakan pada Julai ini,” katanya.

Atas sebab itu, Ewon berkata beliau menawarkan bantuan pembiayaan sebanyak RM100,000 di bawah skim Start-Up Financing-i (SuFi-1) kepada KOKINA sebagai tanda sokongan kepada perusahaan koperasi itu.

“Saya juga mengalu-akukan KOKINA memohon pembiayaan di bawah skim tabung modal pusingan agro-makanan SKM,” katanya. – Info X