Search

Kos meningkat ancam daya saing pelancongan Sabah menjelang VSY2027

September 13, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kenaikan kos penerbangan, bahan api dan operasi penginapan dikhuatiri menjejaskan daya saing industri pelancongan Sabah menjelang pelaksanaan Visit Sabah Year 2027 (VSY2027).

Lima badan industri pelancongan negeri berkata peningkatan kos berkenaan akhirnya memberi kesan kepada harga pakej pelancongan dan berpotensi menyebabkan Sabah dilihat kurang kompetitif berbanding destinasi lain di rantau ini.

Sabah Tourism Federation (STF), Sabah Enhanced Travel Innovation Association (SETIA), Sabah Association of Tour and Travel Agents (SATTA), Sabah Tourist Association (STA) dan Malaysia Budget Hotel Association (MyBHA) Sabah Chapter berkata isu itu memerlukan tindakan awal serta penyelarasan lebih erat dengan kerajaan dan agensi berkaitan.

Mereka berkata kenaikan tambang penerbangan laluan Kuala Lumpur-Kota Kinabalu (KUL-BKI) dan sebaliknya boleh memberi kesan kepada ketibaan pelancong domestik serta antarabangsa, termasuk mereka yang menggunakan penerbangan sambungan ke Sabah.

Keadaan itu turut berpotensi menjejaskan tempahan pakej pelancongan dan rantaian bekalan industri sekiranya kos perjalanan terus meningkat.

Sehubungan itu, mereka mencadangkan pelaksanaan Targeted Package Tour Subsidies (TPTS) menerusi Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), khusus kepada agensi pelancongan berlesen.

Mereka berkata pendekatan itu membolehkan bantuan disasarkan kepada pengusaha yang secara langsung membawa pelancong ke Sabah tanpa perlu memberikan subsidi tambang penerbangan secara menyeluruh.

Dalam masa sama, kenaikan dan perubahan harga bahan api secara mingguan turut memberi tekanan kepada pengusaha van, bas dan bot pelancongan.

Kos bahan api yang meningkat menyebabkan pengusaha terpaksa menyemak kadar perkhidmatan, sekali gus meningkatkan harga keseluruhan pakej pelancongan.

Lima badan itu turut menggesa supaya pengusaha pengangkutan pelancongan berlesen dipertimbangkan untuk menyertai Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), memandangkan pengangkutan adalah antara komponen penting dalam rantaian industri pelancongan Sabah.

Selain isu kos, mereka turut memberi perhatian kepada kewujudan pengusaha ‘white van’ tidak berlesen yang dikatakan semakin berleluasa.

Mereka berkata pengusaha tidak berlesen mampu menawarkan kadar lebih rendah, termasuk kerana penggunaan diesel bersubsidi, sekali gus mewujudkan persaingan tidak adil kepada pengusaha berlesen.

Pada masa sama, operasi tanpa pelesenan dan perlindungan insurans sewajarnya boleh menimbulkan risiko kepada keselamatan pelancong serta pengguna perkhidmatan berkenaan.

Isu gangguan bekalan air di Kota Kinabalu yang menjejaskan sekurang-kurangnya 10 hotel turut dikhuatiri memberi kesan kepada imej Sabah sebagai destinasi pelancongan.

Menurut lima badan itu, gangguan berkenaan bukan sahaja menjejaskan keselesaan tetamu, malah boleh mengganggu operasi hotel termasuk pengemasan serta perkhidmatan makanan dan minuman.

Mereka mencadangkan penyelarasan lebih baik antara Jabatan Air Sabah, DBKK dan pengusaha hotel, termasuk penyediaan lori tangki air secara siap siaga ketika berlaku gangguan bekalan.

Dalam pada itu, pertumbuhan penginapan sewaan jangka pendek (STRA) tanpa lesen turut menjadi perhatian kerana ia dikhuatiri mewujudkan persaingan tidak seimbang dengan pengusaha penginapan yang mematuhi peraturan.

Lima badan berkenaan menegaskan isu yang dibangkitkan bukan bertujuan menolak konsep penginapan jangka pendek, sebaliknya memastikan semua pengusaha mematuhi aspek peraturan, keselamatan dan percukaian.

Mereka berharap isu berkenaan dapat ditangani secara bersama bagi memastikan Sabah bersedia sepenuhnya menyambut VSY2027 serta mampu menawarkan pengalaman pelancongan yang selamat, berkualiti dan berdaya saing.-Info X