KOTA KINABALU: ‘Kosorou kopo nangku doho’, lagu Dusun menusuk jiwa ketika bermulanya siri drama Korea yang popular pada awal 2000-an pasti masih diingati peminat lagu Dusun hingga ke hari ini.
Berbeza dengan rentak biasa lagu Dusun, lagu nyanyian Jestie Alexius itu jauh menyimpang dari konsep ‘keDusunan’, namun diterima baik peminat seni suara, malah ‘meletup’ pada zamannya.
Peminat drama Korea pada waktu itu tentu masih mengingati rentak lagu dalam drama bersiri Autumn In My Heart dan Winter Sonata, antara drama Korea pecah TV yang penuh dengan kisah romantis.
Ketika itulah Jestie muncul dengan hasil karyanya yang tersendiri, mengambil peluang ‘trend’ pada masa itu yang menyaksikan ramai orang muda tertawan dengan rentak lemah lembut dan romantis dibawa drama Korea.
Ramai peminat lagu Dusun, malah tidak kurang juga yang bukan Dusun mencari album Jestie pada waktu itu, kasetnya laris dan lagunya sering berkumandang di radio atau dimainkan di kereta, rumah dan di mana saja.
Itu antara kehebatan hasil karya Jestie, lagu rentak ‘slow motion’ atau ‘slow rock’ yang mendayu-dayu, cukup memikat jiwa penggemar lagu Dusun, terutama anak muda, malah masih diminati hingga ke hari ini.
Lirik lagunya mudah diingati dan disebut, selain tidak terlalu sukar untuk dinyanyikan dengan hanya diiringi petikan gitar, walaupun mungkin ada yang kurang atau tidak memahami maksudnya.
Bagi sesetengah peminat seni suara, maksud lirik atau bait-bait lagu mungkin perkara kedua selepas rentak melodinya yang menusuk jiwa dan membuatkan diri mereka tertawan.
Bagaimana Jestie mampu menghasilkan karya yang begitu memukau? Siapa yang menyokong di belakangnya dan apa perasaannya ketika lagu ‘genre’ baharu Dusun itu pecah kaset pada waktu itu?
Semua itu diluahkan Jestie ketika temuramah eksklusif bersama penyampai KupiKupi FM, Velvet Aduk di konti radio komuniti nombor satu di Sabah itu, baru-baru ini.

Bukan setakat mengenai hasil karyanya, penyanyi Dusun dari Tambunan itu turut menjawab kontroversi dan tuduhan membabitkan dirinya di media sosial, serta punca beliau lama mendiamkan diri setelah albumnya meletup pada awal 2000-an.
Jestie meluahkan segalanya, bermula dengan kesedihan setelah kehilangan gitaris yang menjadi tulang belakang dalam menghasilkan karya terbaiknya kerana meninggal dunia saat albumnya melonjak pada waktu itu.
Rasa sedih dan sukar mencari pengganti gitaris yang memahami jiwa seninya sudah tentu menyukarkan Jestie meneruskan usahanya untuk menyanyikan lagu baharu yang serasi dengan penampilannya.
“Dialah sebenarnya yang menghasilkan lagu-lagu saya itu dan tanpa dia saya tidak dapat mencipta lagu yang sebaik sebelum ketiadaannya.
“Walaupun ada pengganti tetapi tidak sama dengan jiwa mendiang yang benar-benar memahami lagu yang sesuai dengan saya,” katanya menjelaskan punca beliau tidak tampil dengan album baharu selama beberapa tahun selepas lagu popularnya, ‘Kosorou Kopo Nangku Doho’ menerima sambutan hangat di Sabah.
Selain lagu berkenaan, Jestie turut tampil dengan beberapa lagi lagu yang berjaya menawan hati peminat seni suara, antaranya ‘Bulangou’, mengisahkan adiknya yang dulunya seorang budak hingusan sudah menjadi ‘Sumandak’ selepas beberapa lama tidak ditemuinya.
Jestie juga popular dengan lagu ‘Au Oku Insan Do Gumaab’, nukilannya sendiri, tapi dibantu ibunya yang menterjemahkannya ke bahasa Dusun, juga antara individu yang banyak menyokongnya menjadi penyanyi Dusun dengan penampilan yang tersendiri.
Selaku anak jati Tambunan, Jestie tidak lupa menyelitkan lagu berjudul ‘Tambunan’ dengan rentak Sumazau, menceritakan kampung dan insan yang dirinduinya di Tambunan, satu-satunya lagu dalam album terawalnya yang berunsur ‘keDusunan’.

Beliau mengakui tidak menyangka lagu nyanyiannya menjadi begitu popular dan diminati penggemar lagu Dusun pada ketika itu, lebih-lebih lagi dirinya masih baharu dalam industri seni suara tempatan.
“Saya sendiri tertanya-tanya, betulkah lagu saya popular, sedangkan saya belum berapa dikenali, malah pernah ketika tayar kereta saya pancit di Penampang, ada orang bantu saya dari rumah di tepi jalan yang sedang memainkan kaset lagu saya, dia tidak perasan saya penyanyi lagu itu,” katanya.
Ketika era media sosial berkembang sejak beberapa tahun lalu, Jestie turut memanfaatkan medium digital alam maya itu untuk ‘mengetengahkan semula’ dirinya dalam dunia hiburan tempatan Sabah menerusi ‘content’ di TikTok atau Facebook.
Jestie antara lain meluahkan kekecewaannya terhadap tindakan pihak yang memuat naik lagu-lagunya di alam maya seperti di YouTube tanpa izinnya hingga beliau sendiri tidak lagi dapat memuat naik lagunya sendiri.
Mungkin disebabkan perkongsiannya yang agak kritikal, ada pihak bertindak di luar batasan dengan mengeluarkan kata-kata berbaur hinaan terhadap Jestie menyebabkan beliau terkilan dan meluahkan rasa marah di media sosial.
Akibatnya, Jestie dikecam dan dilabel dengan pelbagai tuduhan seperti ‘pengkhianat’ bangsa sendiri berikutan kata-katanya yang disifatkan sesetengah warga maya sebagai sensitif kerana membabitkan soal bangsa dan agama yang tidak sepatutnya diluahkan.
Mengulas perkara itu, Jestie berkata ada bahagian tertentu dalam ‘content’ beliau sengaja diambil untuk menghentamnya sedangkan maksud luahannya perlu dilihat dalam keseluruhan ‘content’ dan bukannya bahagian tertentu itu saja.
Lebih mengecewakan Jestie apabila bahagian yang ‘diambil’ itu dijadikan ‘content’ pula oleh pembuat ‘content’ lain di media sosial bagi memburukkan dirinya hingga ia menjadi viral.
Itu antara perjalanan karya seni Jestie yang naik mendadak ketika mula menempatkan diri dalam dunia hiburan tempatan Sabah lebih 20 tahun lalu sebelum berdepan liku-liku yang sedikit sebanyak menjejaskan perkembangan dirinya sebagai seorang artis.
Namun, sehingga kini Jestie masih memiliki ramai peminat, terutama yang pernah berada dalam zaman kegemilangannya dulu, malah lagu-lagu hit yang beliau nyanyikan masih dicari dan didengari walaupun era kegemilangan kaset sudah berakhir.
Beliau juga masih dijemput membuat persembahan, termasuk oleh KupiKupi FM sendiri yang sebelum ini pernah mengetengahkannya ketika konsert KupiKupi FM pada 2017. – Info X