KOTA KINABALU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyifatkan kejadian anggota bomba kehilangan beg mengandungi barangan berharga ketika membantu mangsa kemalangan maut di Manggatal, kelmarin sebagai sesuatu yang amat menyedihkan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Nor Hisham Mohammad yang terkilan dengan kejadian menimpa anggota bomba terbabit, berkata ia mencerminkan sikap segelintir masyarakat yang mementingkan tembolok sendiri.
Memetik laporan Harian Metro yang menghubungi Nor Hisham di Kuantan, Pahang, semalam, Nor Hisham, berkata golongan tidak bertanggungjawab itu bertindak menolak nilai insani dan tanggungjawab terhadap individu lain yang berkorban membantu pihak lain.
“Saya terkilan dan kecewa dengan individu yang tidak bertanggungjawab itu, perbuatan mencuri dilakukan mengundang masalah pada pihak lain,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro.
Dalam kejadian malam kelmarin, berlaku anggota bomba terbabit membantu mangsa kemalangan maut di pekan Manggatal dan meninggalkan begnya yang mengandungi barangan berharga dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).
Beg berkenaan kemudiannya didapati hilang, didapati hilang dipercayai dicuri individu tidak bertanggungjawab yang berada di lokasi kejadian.
Menerusi laporan sama, Nor Hisham berharap individu tidak bertanggungjawab itu segera dihadapkan ke muka pengadilan atas kesalahan yang dilakukan. – Info X