Search

KPDN rampas 4,400 liter diesel disyaki diseleweng

June 7, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 4,400 liter minyak diesel yang disyaki diseleweng dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam satu operasi di sebuah stor tanpa nama di Kampung Kibabaig, Penampang, semalam.

Operasi itu dijalankan Pasukan Gerakan Am (PGA) Kota Kinabalu selepas mengesyaki berlaku penyelewengan barang kawalan iaitu minyak diesel sebelum kes diserahkan kepada KPDN Sabah untuk tindakan lanjut.

Pengarah KPDN Sabah, Georgie Abas berkata, sepasukan pegawai penguat kuasa KPDN bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima maklumat tangkapan daripada PGA.

“Pemeriksaan awal yang dijalankan menemukan dan menyita sebanyak 4,400 liter diesel dengan anggaran nilai RM9,460 yang disimpan dalam enam unit tangki Intermediate Bulk Container (IBC) yang diubahsuai dalam sebuah lori kotak jenama Nissan.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan ke atas tangkapan itu adalah berjumlah RM58,860 termasuk dua lori kotak, 12 unit tangki IBC dan satu unit mesin pam yang disyaki untuk digunakan dalam aktiviti penyelewengan barang kawalan minyak diesel,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Minyak diesel di dalam tangki IBC dirampas dalam satu operasi di sebuah sebuah stor tanpa nama di Kampung Kibabaig, Penampang. – Foto/KPDN

Menurutnya, hasil operasi itu seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun yang dipercayai pekerja di lokasi serbuan turun ditahan dan diambil keterangan bagi tujuan membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana menjalankan urus niaga barang kawalan tanpa lesen.

“Siasatan juga akan dilakukan dibawah Seksyen 20(1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak mendapat kebenaran pengawal,” katanya.

Sementara itu, Georgie berkata, pihaknya akan terus bekerjasama erat dengan agensi-agensi penguatkuasaan lain dalam menjalankan pemeriksaan dan mengambil tindakan yang tegas ke atas semua kegiatan haram berkaitan barang kawalan di Sabah supaya tidak berlaku sebarang bentuk penyelewengan terhadap barang kawalan berkenaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai sebarang aktiviti yang melanggar perundangan itu boleh menyalurkan aduan kepada pihak KPDN untuk tindakan lanjut. – Info X