KOTA KINABALU: Cubaan menyeleweng 16,180 liter minyak diesel bersubsidi gagal selepas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah menyerbu sebuah premis di Jalan Bunga Raya, Kepayan, di sini semalam.
Serbuan jam 10.30 pagi itu dijalankan lima pegawai penguat kuasa menerusi Ops Tiris hasil risikan dua minggu dan maklumat awam berhubung kegiatan penyelewengan di lokasi berkenaan.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Sabah, Peter J Berinus Agang berkata, pihaknya turut merampas sebuah Toyota Land Cruiser serta peralatan berkaitan dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM34,650.
“Seorang lelaki tempatan berusia 20-an yang berada di lokasi turut ditahan bagi membantu siasatan.
“Premis berkenaan juga tidak memiliki lesen atau kebenaran menyimpan barang kawalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki memiliki barang kawalan tanpa kebenaran pengawal.
Sementara itu, Peter berkata KPDN Sabah akan meneruskan pemantauan bagi membanteras ketirisan petrol RON95 dan diesel bersubsidi di seluruh negeri.
Beliau turut menggesa orang ramai menyalurkan maklumat melalui talian 019-2794317 / 019-8488000, portal eaduan.kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN. – Info X