SANDAKAN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mensyaki, ada di kalangan penjual ayam di daerah berkenaan yang ‘bijak’ mengaut keuntungan daripada pengguna.
Ketua Pegawai Penguatkuasa Daerah KPDN Sandakan, Azdy Zukkry John@Azdy Zukkry Abdullah berkata, perkara itu disyaki pihaknya selepas menjalankan pemantauan di dua pasar, di sini, dalam satu operasi bersepadu bersama Jabatan Veterinar Sandakan, semalam.
“Hasil pemantauan di kedua-dua pasar berkenaan mendapati peniaga seolah-olah dilihat ‘bijak’ cuba membuat sesuatu untuk mendapatkan keuntungan.
“Sebagai contohnya, disyaki ada ayam bulat telah dipotong-potong bahagian dan dijual kepada pengguna.
“Ayam bulat merupakan harga terkawal tetapi bagi bahagian ayam, ia tidak mempunyai harga kawalan dan di sini, berkemungkinan terdapat keuntungan lebih bagi jualan bahagian ayam berbanding ayam bulat.
“Peniaga dinasihatkan tidak memikirkan keuntungan sahaja tetapi sama-sama membantu pengguna pada harga yang lebih mampu,” katanya kepada media selepas operasi itu.
Sementara itu, KPDN bersama pihak Jabatan Veterinar Sandakan turut memeriksa invois di mana kemungkinan terdapat invois atau syarikat yang membuat penyembelihan tidak sah atau sumber ayam itu dari rumah penyembelihan yang tidak berdaftar.
Jelasnya, ia akan diambil tindakan oleh Jabatan Veterinar sejurus siasatan lanjut dijalankan.
Berkenaan aduan kenaikan harga ayam dan telur, Azdy berkata, hampir setiap minggu pihaknya menerima aduan sama.
“Justeru, kita mengambil inisiatif dan langkah proaktif untuk membuat operasi bersepadu bersama dengan jabatan terlibat dimana kita amat serius menangani isu harga ini,” katanya.
Beliau berkata, Sandakan mempunyai tiga ladang ayam berdaftar dan dua ladang yang mengeluarkan telur ayam.
Sehingga kini, katanya, daerah ini mampu 5,400 kotak telur dan 2,000 ayam sehari kepada lebih 150 peniaga di Sandakan.
Selain itu, menurutnya, bekalan barangan asas seperti gula, minyak, tepung dan yang lain juga masih mencukupi hasil pemeriksaan KPDN Sandakan di pasaraya dan pemborong.
Beliau turut menasihatkan orang ramai tidak membuat pembelian panik.
Terdahulu dalam operasi yang dijalankan semalam, sebuah premis peniaga dikenakan kompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana gagal mempamerkan tanda harga pada jualan mereka. – Info X