Search

KPDN sasar 500 premis tawar Menu Rahmah di Sabah

March 12, 2023

admin

KOTA KINABALU: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pihaknya mensasarkan sebanyak 500 premis yang akan melaksanakan Inisiatif Menu Rahmah di Sabah.

Katanya, setakat ini, sebanyak 105 premis makanan telah menyertai program berkenaan di negeri ini dan lebih dari 1,531 premis perniagaan telah mendaftar dalam melaksanakan inisiatif itu di seluruh negara.

Beliau berkata, jumlah premis makanan di Sabah yang akan melaksanakan Menu Rahmah akan bertambah dari semasa ke semasa seterusnya sasaran 500 premis dapat dicapai dalam tempoh dua atau tiga bulan ini.

“Mungkin dia akan bertambah dari semasa ke semasa, untuk Sabah kalau dapat capai 500 dalam tempoh dua atau tiga bulan lagi itu sudah cukup.

“Ini baru saya sampai di Sandakan dan Kota Kinabalu, Tawau, Kudat dan lain-lain daerah belum (sampai) lagi, jadi ini juga akan menggalakkan lebih banyk gerai-gerai atau restoran yang menyahut seruan Menu Rahmah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan jelajah Menu Rahmah, di sini, hari ini.

Sementara itu, Salahuddin berkata, Menu Rahmah yang diperkenalkan kementeriannya kita ‘dipersembahkan’ dalam pelbagai konsep termasuk Buah-buahan Rahmah, Cafe rahmah, Hotel rahmah dan seterusnya yang mungkin dilakanakan ialah Insuran Rahmah.

“Saya akan bincang dengan industri perbankan, mungkin ada nanti ada Insuran Rahmah atau pakej-pakej perbankan yang bersifat Rahmah.

“Perhotelan pun kita akan pertimbangkan supaya hotel-hotel ternama dalam negara kita ini juga ‘offer’ pakej Rahmah supaya ramai pelanggan, pelancong-pelancong luar negara dan dalam negeri sendiri…kita galakkan untuk bercuti dalam negara kita dengan pakej Rahmah,” katanya. – Info X