Search

KPDNHEP RAMPAS BARANG TIRUAN BERNILAI RM24,760

June 15, 2022

admin

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah menyita sebanyak 1,355 barangan aksesori wanita serta wangian tiruan, Isnin lalu.

Antara jenama yang berjaya dirampas dalam empat serbuan berasingan bermula jam 11 pagi itu adalah Louis Vuitton (LV), Chanel dan Victoria Secret yang disyaki tiruan.

Pengarah KPDNHEP Sabah, Georgie Abas berkata, serbuan dijalankan bahagian penguatkuasa KPDNHEP Sabah bersama empat wakil pemilik cap dagang berdaftar.

Katanya, tindakan kes diambil mengikut Akta Cap Dagang 2019 membabitkan barangan yang dianggarkan bernilai RM24,760.

“Semua empat pemilik premis perniagaan terbabit akan disiasat mengikut Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan bagi maksud perdagangan barang-barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan bagi pertubuhan atau perbadanan pula boleh didenda tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Georgie berkata, kes yang dihasilkan kali ini adalah kejayaan kedua bagi pasukan penguatkuasa KPDNHEP Sabah pada tahun ini.

“Pada 8 dan 9 Mac lalu, kita berjaya merampas 437 barangan aksesori wanita yang terdiri daripada beg tangan, beg sandang, tali pinggang, dompet, selipar, kasut, topi serta gelang di Kota Kinabalu dan Penampang.

“Semua barangan berkenaan adalah membabitkan jenama Louis Vuitton (LV) dan Chanel yang disyaki tiruan dengan nilai rampasan sebanyak RM10,573.30,”katanya.

Sehubungan itu, Georgie berkata, pihaknya akan terus menguatkuasakan undang-undang mengikut Akta Cap Dagangan 2019 bagi membanteras penjualan barangan tiruan dan aktiviti cetak rompak di pasaran.
 
Katanya, para peniaga diingatkan supaya lebih bertanggungjawab serta menghormati harta intelek orang lain di samping sentiasa berusaha membuat semakan status kesahihan dan ketulenan barangan yang dibekalkan.

“Pengguna juga dinasihati supaya tidak menyokong jualan barangan tiruan di pasaran yang belum tentu terjamin dari segi kualiti dan keselamatannya,” katanya. – Info X