Search

KPPIS dedah lima kelompongan Akta 860 dakwa hakis autonomi imigresen Sabah

May 12, 2026

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kesatuan Perkhidmatan Pegawai Imigresen Sabah (KPPIS) mendakwa terdapat lima kelompongan kritikal dalam Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia 2024 (Akta 860) yang disifatkan berpotensi menghakis autonomi imigresen Sabah serta menjejaskan pengurusan pintu masuk negeri itu.

Presiden KPPIS, Azizah S Ahmad, berkata peruntukan dalam akta berkenaan dilihat membuka ruang kepada pertindihan kuasa antara Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dengan kerajaan negeri, khususnya dalam aspek kawalan imigresen di Sabah.

Katanya, perkara itu turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pegawai imigresen di negeri berkenaan kerana boleh menyebabkan kekeliruan terhadap rantaian arahan dan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP).

Beliau berkata, antara isu utama dibangkitkan ialah pengecualian kuasa AKPS di bawah Jadual Kedua Akta 860 yang didakwa hanya terhad kepada Seksyen 9, Seksyen 9A dan Bahagian V Akta Imigresen 1959/63.

“Situasi ini membolehkan AKPS menguatkuasakan semua peruntukan di bawah Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63 yang sebenarnya mengandungi peruntukan khas berkaitan kuasa eksklusif kerajaan negeri Sabah.

“Sekiranya Bahagian VII tidak dikecualikan secara khusus daripada bidang kuasa AKPS, ia boleh menjejaskan kedaulatan wilayah serta hak pentadbiran pintu masuk Sabah,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.

Azizah berkata, ketika ini kawalan di pintu masuk Sabah dilaksanakan di bawah kuasa mutlak pihak berkuasa negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Bahagian VII Akta Imigresen 1959/63.

Namun, beliau mendakwa penguatkuasaan Akta 860 berpotensi membolehkan AKPS mengambil alih kawalan pintu masuk tanpa sempadan bidang kuasa yang jelas sehingga mencetuskan pertindihan kuasa.

Selain itu, katanya, Seksyen 6(3) Akta 860 juga didakwa mengandungi kelompongan apabila AKPS hanya diwajibkan mematuhi arahan pihak berkuasa negeri bagi fungsi pemeriksaan keluar masuk individu secara fizikal.

Sebaliknya, beliau berkata, fungsi pengeluaran pas atau permit di bawah Seksyen 6(1)(a)(viii) didakwa terdedah kepada campur tangan AKPS.

“Keadaan ini dikhuatiri bercanggah dengan Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 65 Akta Imigresen 1959/63 yang memberi kuasa kepada Ketua Menteri Sabah untuk menyekat atau membatalkan pengeluaran pas dan permit di Sabah.

“Kuasa mutlak Ketua Menteri untuk menyekat atau membatalkan pas di Sabah tidak wajar dibiarkan dalam ruang kelabu perundangan,” katanya.

Menurut Azizah, KPPIS turut mempersoalkan penstrukturan pentadbiran di bawah Seksyen 4(4) Akta 860 yang meletakkan Ketua Pengarah AKPS sebagai pemegang kuasa mutlak terhadap semua arahan dan kawalan operasi.

Katanya, langkah itu dikhuatiri memintas peranan Pengarah Imigresen Sabah yang sepatutnya mempunyai kuasa pengawasan terhadap penugasan pegawai imigresen di negeri berkenaan.

“Rantaian arahan berpusat ini boleh menyebabkan pegawai di lapangan berdepan dilema berhubung arahan pihak mana yang perlu dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata, KPPIS juga membantah Seksyen 8 Akta 860 yang memperuntukkan penyelesaian pertindihan fungsi secara pentadbiran sekiranya berlaku konflik kuasa antara AKPS dan pihak berkuasa negeri.

Katanya, pendekatan itu dianggap tidak selaras dengan jaminan Perkara 161E(4) Perlembagaan Persekutuan serta Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) kerana boleh dipinda tanpa proses kelulusan Parlimen.

“Autonomi imigresen Sabah bukan sesuatu yang boleh dirundingkan kerana ia adalah hak eksklusif yang perlu dipelihara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan Seksyen 7(1) Akta 860 yang memberi kuasa luas kepada AKPS untuk mengambil alih keupayaan “pihak berkuasa berwibawa” secara automatik.

Katanya, sebarang penurunan kuasa berkaitan hak kemasukan ke Sabah sepatutnya memerlukan persetujuan rasmi dan kebenaran bertulis Yang di-Pertua Negeri Sabah.

“Pemberian kuasa secara pukal kepada AKPS ini dilihat sebagai pencerobohan terhadap autonomi yang selama ini melindungi ruang kerja pegawai imigresen di Sabah,” katanya.

Mengulas lanjut, Azizah menegaskan tindakan KPPIS membangkitkan perkara itu bukan bertujuan menentang pelaksanaan akta berkenaan, sebaliknya bagi memastikan perlindungan perundangan dan keselamatan kerjaya pegawai imigresen di Sabah terus terjamin.

Katanya, kegagalan menangani kelompongan dalam Akta 860 boleh mendedahkan pegawai imigresen kepada risiko ketidakpatuhan statutori serta pelaksanaan arahan yang melampaui bidang kuasa perundangan. – Info X