Search

Kuarters guru Kolej Vokasional Keningau terbakar

January 16, 2024

Info X Reporters

KENINGAU: Sebuah kuarters di tingkat tiga flat guru Kolej Vokasional Keningau Jalan Bariawa di sini, musnah dalam kebakaran, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu bagaimanapun tidak membawa sebarang kecederaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, sebaik menerima panggilan pada jam 10.32 malam, sepasukan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau bersama jentera pemadam bergegas ke lokasi terletak empat kilometer dari jarak balai.

“Kebakaran melibatkan sebuah kuarters guru di tingkat tiga yang berkeluasan 25×30 kaki persegi jenis kekal terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dilaksanakan dengan menggunakan dua aliran tiga pancutan,
300 kaki bersama sumber air dari Jentera Bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata operasi terkawal pada jam 11.03 malam dan tamat sepenuhnya pada 12.50 tengah malam.

“Mujurlah kejadian tidak menyebabkan sebarang kecederaan dan kematian.

“Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya. – InfoX