Search

Kucing hilang ditelan ular sawa

December 4, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kemusykilan seorang wanita apabila kucing peliharaannya hilang terjawab apabila haiwan kesayangan itu ditelan ular sawa di pekarangan rumahnya di Karambunai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, pemilik kucing terbabit dikatakan cuba mencari kucing peliharaan di dalam sangkar di luar rumah namun tidak menemuinya.

Bagaimanapun, pemilik haiwan berkenaan terkejut selepas menyedari objek yang bergerak dibawah sangkar kucing berhampiran sebenarnya adalah ular sawa sepanjang empat meter.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.19 petang.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai terus dikerah ke lokasi bagi membantu menangkap haiwan berkenaan.

“Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati seekor menelan seekor kucing peliharaan milik wanita terbabit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota APM menggunakan peralatan khas menangkap ular sawa sepanjang empat meter. – Foto/APM

Aizex berkata, ular sepanjang empat meter itu berjaya ditangkap menggunakan peralatan khas termasuk penyepit dan penjerut.

Kataya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 5.15 petang. – Info X