Search

Kucing tersekat dalam paip diselamat APM

January 1, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Khidmat Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terpaksa digunakan untuk menyelamatkan seekor anak kucing yang terperangkap di dalam saluran paip di Batu 7, Jalan Inanam, di sini, hari ini.

Kejadian itu sedari oleh pemiliknya selepas mencari haiwan peliharaan sebelum terdengar bunyi kucing pada saluran paip di tingkat bawah rumah kedai berkenaan.

Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.52 pagi.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai diketuai SM (PA) Safaruddin Rusline terus dikerah ke lokasi bagi membantu menyelamat haiwan berkenaan.

“Sebaik tiba di lokasi, didapati haiwan itu gagal keluar selepas keseluruhan badannya termasuk di dalam saluran paip sepanjang lapan meter.

“Anggota APM kemudian menggunakan kaedah memotong paip sebelum anak kucing itu selamat dikeluarkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi mengeluarkan anak kucing itu mengambil masa kira-kira sejam dan operasi ditamatkan jam 1.09 tengah hari.

“Keadaan anak kucing itu lemah tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Haiwan itu kemudian diserahkan kepada pemiliknya di lokasi kejadian,” katanya. – Info X