Search

KUDAT BERPOTENSI JADI TARIKAN UTAMA PELANCONGAN DESA

May 20, 2022

admin


KUDAT: Kecantikan alam semula jadi serta pulau-pulau yang mempunyai cerita unik tersendiri antara daya tarikan pelancongan luar bandar berpotensi untuk dimajukan di daerah Kudat.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayan, dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, Kudat digelar sebagai “Bali of Borneo” disebabkan persamaan aktiviti produk pelancongan yang mampu menarik pelancong luar negara sekiranya dikembangkan.

“Bali terkenal dengan kebudayaan dan aktiviti sukan papan luncur air atau ‘surfing’. Kudat juga mempunyai semua itu dengan pantai yang jernih dan ombak yang sesuai untuk aktiviti ‘surfing’.

“Namun semuanya terpulang kepada komuniti untuk mempopularkan Kudat dan menonjolkan keunikan kawasan ini sebagai destinasi pelancongan,” katanya pada pelancaran Persatuan Penggerak Pelancongan Komuniti Desa Tajau Laut pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Joniston yang juga pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah, berkata, pihak kementerian dan lembaga sentiasa bersedia membantu mempromosikan produk-produk pelancongan yang ada di daerah Kudat.

“Komuniti setempat harus melengkapkan diri dengan pengetahuan mengenai destinasi-destinasi dan aktiviti-aktiviti menarik yang boleh diperkenalkan kepada pengunjung luar apabila mereka datang ke sini. 

“Saya amat berbangga melihat komuniti Tajau Laut mengamalkan semangat perpaduan dan bersatu hati mengusahakan aktiviti pelancongan. Saya juga melihat Persatuan Penggerak Pelancongan Komuniti Desa Tajau Laut ini boleh menjadi contoh kepada kampung-kampung lain di Kudat.

“Kesatuan dan kerjasama ini amat penting, lebih-lebih lagi apabila pelancong datang untuk melihat dan mempelajari sendiri bagaimana komuniti kampung mewujudkan aktiviti pelancongan di kawasan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata Kudat telah mendapat manfaat daripada bantuan kewangan khas kerajaan negeri bagi membantu pengusaha pelancongan yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19.

Menurutnya, seramai 16 pengusaha berjaya memohon bantuan peruntukan khas yang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM305,930 dan Tajau Laut Guesthouse merupakan salah satu penerima. 

“Persatuan Penggerak Pelancongan Komuniti Desa Tajau Laut ditubuhkan setahun lalu untuk menggalakkan penduduk kampung mengambil bahagian dalam membangunkan Kampung Tajau Laut menjadi produk pelancongan baru.

“Kampung ini hanya mempunyai sebuah penginapan pelancong iaitu Tajau Laut Guesthouse yang dikendalikan oleh Junaidi.

“Pelancong dan pelawat boleh menikmati aktiviti snorkeling, berkayak, memancing, pemuliharaan karang, dan memasak, antara lain di Kampung Tajau Laut,” katanya. – Info X