Search

Kumpulan BTC bantu masyarakat melalui program CSR

February 4, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kumpulan BTC Berhad merancang melaksanakan pelbagai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tahun ini.

Pengarah Eksekutifnya, Sathiq Hussain AM Jailani berkata, ia sudah menjadi tradisi syarikat itu dalam usaha membantu dan meringankan beban masyarakat di Sabah khususnya sekitar bandar raya Kota Kinabalu.

“Malahan setiap kali tibanya musim perayaan BTC juga akan menyambutnya.

“Selain memberikan bantuan bersesuaian, kita juga akan melancarkan potongan harga dan tawaran promosi istimewa sama ada di restoran atau produk tekstil kami.

“Dalam pada itu, kita juga bakal mengedarkan 1,000 biji bun di sekitar Inanam selain disalurkan kepada badan bukan kerajaan (NGO) sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.

“Ini semua adalah inisiatif kita bukan sahaja membantu masyarakat tetapi usaha memberikan kegembiraan kepada mereka yang kurang berkemampuan.

“Tambahan pula, penganjuran program CSR akan diteruskan sepanjang tahun dan tidak tertumpu ketika musim perayaan sahaja,” katanya.

Sathiq Hussain berkata demikian ketika ditemui selepas sambutan Tahun Baharu Cina di Restoran BTC Inanam, baru-baru ini.

Sementara itu, Sathiq Hussain menyatakan sambutan perayaan Tahun Baharu Cina oleh Kumpulan BTC sudah memasuki penganjuran tahun kelima.

Beliau berkata, ia bagi menghargai kakitangan mahupun pelanggan yang menyambut perayaan berkenaan. – Info X