Search

Kumpulan Perhimpunan #KamiMahuAir hanya mahu raih perhatian media, kata Shahelmey

June 14, 2024

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tindakan kumpulan Perhimpunan #KamiMahuAir Sabah enggan menyerahkan memorandum kepada wakil kerajaan negeri disifatkan sebagai hanya mahu mendapatkan perhatian pihak media.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Ir Shahelmey Yahya, berkata beliau sudah diamanahkan untuk bertemu dan mendengar hasrat yang mahu disuarakan kumpulan terbabit.

“Saya diwakilkan oleh Ketua Menteri untuk menerima memorandum mereka pada petang ini namun pihak polis memaklumkan ketua demonstrasi enggan memberikan memorandum tersebut kepada saya.

“Mereka menyatakan hanya mahu memberikan memorandum itu kepada Ketua Menteri Sabah sahaja. Saya juga hanya rakyat biasa dan mahu mendengar apa yang mereka hendak katakan.

“Bagaimanapun, nampaknya mereka tidak menghormati kepada orang yang mahu mendengar suara mereka dan cara kumpulan ini seperti mahu bermain permainan untuk mendapatkan perhatian media,” katanya ditemui media di hadapan Menara Kinabalu, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri menyatakan ayat-ayat yang dilontarkan kumpulan terbabit jelas menampakkan tuntutan air hanya sebagai alasan untuk keluar membuat demonstrasi.

“Malahan jika kita lihat ayat-ayat seterusnya lebih kepada bermotifkan politik. Oleh itu, saya pun tidak tahu apa tujuan sebenar yang mereka cuba sampaikan,” katanya.

Sementara itu, ditanya usaha kerajaan Sabah untuk terus menangani isu air, Shahelmey memaklumkan langkah pihaknya akan menstabilkan bekalan mahupun tekanan air yang ada di kawasan pantai barat Sabah serta seluruh negeri.

“Selaku Menteri Kerja Raya yang mana jabatan air di bawah saya, kita memang sedang melaksanakan program-program bekalan air yang ada.

“Seperti di Tawau, kita sedang membina empangan, Lahad Datu loji rawatan air sedang dibuat dan Sandakan kita sedang pulihkan bekalan air. Bekalan air ini bukannya cakap hari ini, esok semuanya tersedia.

“Ianya memerlukan masa yang agak munasabah untuk dilaksanakan. Jadi, kita memerlukan kerjasama semua pihak termasuklah pegawai Jabatan Air dan rakyat,” katanya. – Info X