Search

Kuota baharu RON95, diesel untuk kepentingan rakyat, bukan ‘gula-gula’

September 4, 2026

Info X Reporters

TAMBUNAN: Kenaikan had kelayakan subsidi petrol RON95 dan diesel di bawah Program BUDI MADANI bukan ‘gula-gula’ pilihan raya’.

Penyelaras Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) DUN Tambunan, Datuk Victor P Paut, sebaliknya berkata ia langkah kerajaan membantu meringankan tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat ketika ini.

Katanya, rakyat seharusnya melihat pengumuman itu secara positif kerana manfaatnya dirasai secara langsung, khususnya pengguna kenderaan yang bergantung kepada petrol dan diesel untuk urusan harian.

Jelasnya, peningkatan semula kelayakan berkenaan amat diperlukan dengan mengambil kira keadaan harga minyak dunia yang tidak menentu susulan konflik dan ketegangan di Asia Barat.

“Bagi saya kenaikan kuota petrol dan terutamanya diesel, amat membantu sekali khususnya rakyat Sabah yang sebahagian besarnya menggunakan kenderaan pacuan empat roda ekoran keadaan geografi yang mencabar di wilayah ini.

“Pengumuman Perdana Menteri ini jelas bukan ‘gula-gula’ pilihan raya, sebaliknya salah satu inisiatif untuk meringankan beban rakyat,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Malaysia Peringkat Mukim Nambayan, di sini, pada Rabu.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengembalian had kelayakan asas BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan, selain peningkatan kelayakan BUDI Diesel daripada 300 kepada 400 liter bagi pemilik kenderaan diesel persendirian jenis pikap dan jip yang layak, bermula 1 September.

Dalam perkembangan sama, Victor turut menegaskan pengumuman berkenaan tidak wajar ditafsirkan semata-mata dari sudut politik, sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kesan sebenar kepada rakyat.

Katanya, walaupun terdapat suara sumbang yang mengaitkannya dengan ‘gula-gula’ pilihan raya, terpulang kepada persepsi masing-masing kerana Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) hanya akan diadakan tahun depan.

Beliau berkata, bantuan kerajaan kepada rakyat perlu dilihat berdasarkan keperluan semasa dan bukannya dikaitkan secara automatik dengan kepentingan politik kerana rakyat ketika ini berdepan pelbagai tekanan kos sara hidup.

“Memang rakyat memerlukan bantuan ini. Ia realiti kehidupan dan jangan kita politikkan apa saja bantuan daripada kerajaan kepada rakyat hanya kerana sudah dekat pilihan raya sedangkan PRU16 pun lama lagi, tahun depan,” katanya.

Victor yang juga Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera yakin manfaat berkenaan akan diteruskan sekiranya kerajaan mendapati ia masih diperlukan bagi membantu rakyat menghadapi tekanan kos sara hidup.

“Saya yakin bantuan subsidi bahan api ini memang diteruskan,” katanya.

Apa yang lebih penting katanya, adalah memastikan dasar subsidi dilaksanakan secara berkesan supaya manfaatnya benar-benar sampai kepada golongan yang memerlukan.

Tegasnya, rakyat tidak seharusnya dibebankan dengan polemik politik apabila kerajaan mengambil langkah yang secara langsung membantu mengurangkan perbelanjaan harian mereka.

Terdahulu, Victor meluluskan peruntukan bagi pembelian 200 kerusi plastik, dua unit penghawa dingin dan enam set lampu solar untuk Perpustakaan Desa serta Dewan Serbaguna Kampung Nambayan pada majlis berkenaan. – Info X