KOTA KINABALU: Stesen radio Kupi-Kupi FM bersama portal berita Info X dengan kerjasama syarikat minuman F&N tidak ketinggalan menghulur bantuan bagi meringankan beban ditanggung penduduk yang terjejas akibat banjir.
Menerusi misi tanggungjawab sosial korporat (CSR) Operasi Kerja Komuniti 96.3 FM itu, seramai 14 kru Kupi-Kupi FM dan Info X mengagihkan bantuan minuman sumbangan F&N di Tamparuli dan Penampang, semalam.
Meskipun tidak seberapa berbanding kerugian dan kesukaran dihadapi mangsa banjir, misi yang digerakkan stesen radio Kupi-Kupi FM itu adalah tanda simpati dan prihatin masyarakat Sabah terhadap musibah yang menimpa penduduk.

Sepanjang misi sehari itu, sebanyak 40 kediaman mangsa banjir di Tamparuli dan Penampang sempat dikunjungi dan diagihkan bantuan air minuman, selain susu kacang soya sumbangan F&N.
Mengulas pelaksanaan misi berkenaan, Pengurus Besar Kupi-Kupi FM, Lester Calvin Miol, berkata Kupi-Kupi FM terpanggil untuk sama-sama membantu penduduk yang terjejas banjir atas dasar kemanusiaan dan saling tolong-menolong.
Beliau berkata, pihaknya juga akan mengusahakan bantuan selanjutnya dengan kerjasama klien Kupi-Kupi FM agar lebih ramai mangsa banjir yang dapat menerima sumbangan.

“Bagi pihak Kupi-Kupi FM dan Info X, saya berterima kasih kepada F&N kerana menyokong program CSR ini dan ia sedikit sebanyak diharap dapat membantu mangsa banjir, khususnya di Tamparuli dan Penampang yang sempat kita lawati.
“Selepas ini kita akan cuba mendapatkan bantuan selanjutnya dan jika ada klien yang mahu membantu bolehlah berhubung dengan kami. Terima kasih kepada semua yang terbabit dalam misi bantuan ini,” katanya.
Operasi Kerja Komuniti 96.3 FM semalam bermula di Kampung Tambulaong, Tamparuli dan sekitarnya sebelum beralih ke Kampung Sugud dan Tamoi di Penampang serta kampung sekitarnya.

Sebanyak 500 karton air minuman dan 200 karton susu kacang soya diagihkan kepada mangsa banjir sepanjang misi bantuan berkenaan.
Turut sama menyertai misi itu ialah Managing Editor Info X, Willie Jude dan Pengurus Operasi Lapangan, Kupi-Kupi FM, Ronald Raynel Florence.

Banjir melanda daerah Penampang, daerah kecil Tamparuli, Tuaran dan Putatan pada Ahad lalu berikutan hujan lebat berterusan lebih lima jam pada hari berkenaan.
Musibah itu menyebabkan kira-kira 500 penduduk terpaksa dipindahkan ke empat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka di setiap daerah terbabit.

Sementara itu, tinjauan mendapati banyak kediaman penduduk terkesan teruk akibat banjir berkenaan, malah ada rumah penduduk dimasuki lumpur dan batuan akibat dihanyutkan arus deras. – Info X