KOTA KINABALU: Dalam semangat sambutan Pesta Kaamatan 2025, KupiKupi FM mempersembahkan muzik video terbaharu bertajuk ‘Daddy Masih Kaya’, satu karya yang menggambarkan keindahan budaya, kekeluargaan, dan nostalgia hidup di kampung penuh dengan sentuhan humor, kasih sayang dan warna-warni Sabah.
Diterajui barisan artis tempatan hebat seperti Francis Landong, Elica Paujin, Queennera, Felix Agus dan Velvet Aduk, muzik video ini bukan sekadar hiburan ia adalah satu penghargaan kepada warisan dan identiti Kadazan-Dusun yang terus hidup subur dalam hati rakyat Sabah.
‘Daddy Masih Kaya’ membawakan mesej bahawa kekayaan sebenar bukanlah pada wang ringgit, tapi dalam ikatan keluarga, budaya, dan gaya hidup yang sederhana tapi penuh makna.
Dirakam dalam suasana kampung yang autentik, video ini mengangkat keindahan rumah tradisi dan suasana Kaamatan yang penuh gelak tawa dan kasih sayang.
Pengurus Besar Kupikupi FM, Lester C Miol berhadap agar lagu dan muzik video ini menjadi simbol kebanggaan anak jati Sabah serta menghiburkan semua yang merindui suasana kampung halaman, terutamanya ketika musim perayaan Kaamatan. – Info X