Search

Kutip tapak sulaiman, pelancong, pengendali pelancongan diberi amaran

May 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam sekitar negeri memandang serius perbuatan mengutip tapak sulaiman yang dipercayai dilakukan pelancong dari China di kawasan pelancongan negeri ini.

Menterinya, Datuk Seri Christina Liew, berkata perbuatan itu bertentangan dengan prinsip eko pelancongan yang menekankan pemeliharaan hidupan marin sebagai nilai teras yang dipegang kerajaan negeri dalam komitmennya terhadap pelancongan lestari.

“Siasatan yang dijalankan Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (LPATTS) mengesahkan insiden itu berlaku di perairan Tanjung Aru, di luar sempadan Taman Tunku Abdul Rahman dan membabitkan sebuah syarikat pelancongan.

“Sebanyak 30 tapak sulaiman dikumpul, dikenal pasti dari jenis tapak sulaiman bertanduk atau tapak sulaiman cip coklat dengan nama saintifiknya Protoreaster nodosus.

“Tapak sulaiman ini memainkan peranan penting dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem marin dan tindakan mengambilhya berpotensi mengganggu keseimbangan itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas isu viral di media sosial baru-baru ini mengenai pelancong dipercayai warga China yang mengutip tapak sulaiman, kelihatan di atas papan dayung di perairan Kota Kinabalu.

Sehubungan itu, Christina menggesa semua pengendali pelancongan supaya melaksanakan tanggungjawab memastikan pelancong dan staf mereka mematuhi garis panduan dan peraturan, khususnya yang berkaitan perlindungan hidupan marin.

“Kesedaran dan pematuhan terhadap peraturan penting bagi memastikan kelestarian ekosistem marin demi kesejahteraan generasi akan datang.

Beliau memberi amaran pihak berkuasa tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang didapati menyalahi peraturan berkaitan hidupan liar dan ekosistem semula jadi di negeri ini.

“Kita akan bekerjasama dengan agensi yang berkaitan berhubung dengan isu ini,” katanya. – Info X