Search

Lagu patriotik, satu melodi seribu jiwa

August 30, 2026

BERNAMA

Oleh Sakini Mohd Said

Melodi mungkin berubah mengikut zaman, namun kuasa sesebuah lagu patriotik melangkaui sekadar bait dan irama dalam menyemarakkan kecintaan kepada negara serta rasa kebersamaan. Biarpun begitu, dengan evolusi landskap muzik dan gaya hidup, mampukah lagu patriotik kekal relevan sekali gus menyentuh jiwa generasi hari ini, itu dikupas dalam laporan akhir dua siri.

KUALA LUMPUR: “Tiga mahupun empat minit” mungkin sekadar durasi sesebuah lagu, namun karya patriotik dengan paduan melodi dan lirik yang tepat, hakikatnya mampu “menjentik” emosi serta menyatukan ribuan rakyat berbilang bangsa dalam satu suara sebagai anak Malaysia.

Tidak sekadar sebagai penyeri sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM), lagu patriotik mempunyai kekuatan tersendiri sebagai medium yang mampu menyemarakkan semangat kebersamaan, selain turut menjadi “penawar” kepada perbalahan mahupun sentimen perkauman dalam masyarakat.

Keupayaan itu bukan sahaja terserlah menerusi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penyatuan, akan tetapi turut dipacu kekuatan lirik yang membawa mesej mudah difahami mahupun dihayati, sekali gus mengusik emosi dan membangkitkan rasa cinta serta bangga terhadap negara.

“Di situlah terletaknya keistimewaan sesebuah lagu patriotik, yang turut menjadi wahana penting mengimbau kembali sejarah perjuangan dan pengorbanan terdahulu, seraya mengingatkan generasi hari ini akan nilai sebuah kemerdekaan,” kata penyanyi legenda Datuk Wan Aishah Wan Ariffin.

“Bagi saya, lagu patriotik mungkin boleh menjadi penawar atau antidote kepada racun-racun perbalahan, perpecahan dan rasisme. Kita tumpukan kepada apa persamaan kita, iaitu kita anak Malaysia.

“Walaupun kita orang Melayu, Cina, India, Kadazan dan lain-lain, fakta utama ialah kita orang Malaysia. Apabila ribuan rakyat berada di stadium atau dataran dan menyanyikan lagu yang sama tentang negara, tentang kasih kita sesama rakyat, di situlah wujudnya kebersamaan,” katanya kepada Bernama.

Namun untuk mewujudkan rasa kebersamaan sedemikian, Wan Aishah yang lebih dikenali sebagai Aishah berkata mesej sesebuah lagu itu, perlu terlebih dahulu sampai dan menyentuh hati pendengar dengan lirik memainkan peranan penting dalam memberi makna, membentuk jalan cerita serta menentukan hala tuju sesebuah karya.

Beliau berkata tanpa lirik yang mampu menjentik emosi dan dekat dengan pengalaman pendengar, sesebuah lagu itu mungkin sekadar memiliki melodi yang menarik, akan tetapi belum tentu dapat meninggalkan kesan mahupun membawa mesej yang ingin diketengahkan.

“Lirik itu bagi saya is almost everything to a song. Lagu kalau kita pilih lagu tanpa lirik, ia takkan ada makna, tidak ada jalan cerita dan tak ada hala tuju. Kita akan dengar muzik, tetapi mungkin sekadar muzik yang sedap didengar,” katanya.

Aishah yang pernah mendendangkan semula Bahtera Merdeka, nyanyian asal Allahyarham Datuk Ahmad Jais bagaimanapun berkata menjadi satu cabaran untuk memastikan lagu patriotik terus mampu menambat perhatian, khususnya generasi muda yang membesar dengan cita rasa muzik yang sentiasa berubah.

Oleh sebab itu Aishah berpandangan, lagu patriotik tidak semestinya tampil dalam bentuk terlalu serius, sebaliknya boleh digarap dengan pendekatan lebih segar dan moden, misalnya genre cinta dengan susunan muzik yang selari trend semasa.

“Sekarang dah banyak lagu baharu yang lebih mesra kepada Gen Z (Generasi Z), anak-anak muda dan ditulis oleh anak muda juga. Jadi mereka yang tulis dan mereka juga yang nyanyi kepada rakan-rakan di luar sana dan kebanyakannya dapat menerima (perubahan tersebut).

“Lagu patriotik bagi saya kalau ditulis dalam bentuk love song, moden dengan susunan yang selari dengan senario muzik sekarang, sebenarnya lebih senang untuk diterima generasi baharu,” katanya.

Jika Aishah melihat kekuatan sesebuah lagu daripada gabungan lirik, melodi dan kemampuannya untuk menghubungkan pendengar, penyanyi veteran yang terkenal dengan lagu patriotik, Roy pula menitikberatkan elemen “penjiwaan” dalam menyuntik roh pada sesebuah karya itu.

Roy atau nama sebenarnya Mohammed Rauzan Alwi berkata lagu patriotik, memerlukan interpretasi yang sesuai kerana melodi, lirik, muzik mahupun cara nyanyian perlu bergerak seiring dalam membangkitkan emosi serta semangat penyatuan yang ingin diterjemahkan kepada masyarakat.

Pelantun yang terkenal dengan naskhah Sejahtera Malaysia itu berkata aspek berkenaan penting, kerana penyampaian secara sambil lewa boleh menyebabkan sesebuah lagu patriotik gagal meninggalkan kesan mendalam kepada pendengar.

“Lirik dengan melodi, mesti seiring…bila mood itu kena dengan lirik dan muzik yang diiringkan, benda itu mendatangkan semangat,” katanya sambil menambah kemahiran asas nyanyian seperti penguasaan notasi dan teknik pernafasan yang betul, turut memainkan peranan memastikan sesebuah lagu dapat disampaikan dengan baik.

Biarpun begitu, beliau melihat cabaran menyemarakkan semangat patriotisme menerusi lagu turut berubah, seiring perkembangan teknologi apabila masyarakat hari ini tidak lagi bergantung kepada radio dan televisyen (TV) semata-mata, sebaliknya mempunyai pelbagai pilihan menerusi platform digital.

“Dulu orang dengar radio, tengok TV. Jadi (matlamat lagu patriotik) itu sampai kepada kita. Sekarang semua boleh pilih…nak tengok YouTube, nak tengok TikTok. Bagaimana hendak pastikan ia sampai kepada kamu? Gaya hidup dah berubah,” katanya.

Hakikatnya, perubahan landskap itu sekali gus menunjukkan bahawa kekuatan lagu patriotik tidak boleh diukur sekadar sejauh mana ia dimainkan atau menjadi popular, akan tetapi pada kemampuannya untuk meninggalkan rasa dan makna yang mendalam kepada pendengarnya.

Kerana akhirnya di sebalik perbezaan zaman, genre mahupun cita rasa, lagu patriotik hakikatnya membawa satu tujuan yang tidak akan sesekali pun berubah, yakni mengingatkan rakyat di bawah payung Malaysia kita mungkin berbeza, akan tetapi tanah air yang dicintai tetap sama.– BERNAMA