Search

Laluan Ranau – Telupid dibuka satu lorong

October 4, 2026

Info X Reporters

RANAU: Laluan di Kilometer 65 Jalan Ranau – Telupid berhampiran Kilang Sawit Toupos yang terjejas akibat tanah runtuh dan pokok tumbang, kini dibuka kepada kenderaan menggunakan satu lorong.

Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, kontraktor Pan Borneo masih berada di lokasi bagi meneruskan kerja membaiki bahagian jalan yang ditimbus tanah runtuh.

Katanya, anggota Unit Peronda MPV Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau bersama anggota Pondok Polis Komuniti Paginatan turut berada di lokasi bagi menjalankan pemantauan dan mengawal lalu lintas.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya bersabar dan sentiasa berhati-hati ketika melalui laluan berkenaan berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mursalin berkata, pihaknya turut memaklumkan kejadian itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Ranau bagi tindakan penyelenggaraan jalan serta mengalihkan pokok yang tumbang.

Terdahulu, kejadian tanah runtuh dan pokok tumbang kira-kira jam 11.30 malam semalam menyebabkan laluan berkenaan tidak dapat dilalui kenderaan.

Kejadian berhampiran Kilang Sawit Toupos itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa. – Info X