KOTA KINABALU: Festival Lampoopalooza terus memperluas impaknya kepada masyarakat menerusi pelbagai inisiatif kemasyarakatan yang dilaksanakan sejak 2024, seiring usaha menjadikan acara itu bukan sekadar sambutan cahaya dan kreativiti.
Inisiatif berkenaan mencerminkan komitmen Lembaga Pelancongan Sabah (STB) untuk memastikan Lampoopalooza memberi manfaat lebih luas dengan mewujudkan peluang menyokong komuniti serta menggalakkan keterangkuman menerusi kerjasama bermakna.

Pada 2024, Lampoopalooza meluaskan inisiatif kemasyarakatannya ke kawasan luar bandar Sabah apabila menyumbangkan tangki air kepada lima kampung di Pitas iaitu Kampung Kandang, Kampung Gumpa, Kampung Mangkapon Lumikog, Kampung Jambu dan Kampung Kodong.
Selain itu, panel solar turut disumbangkan kepada Kampung Timpayasa di Ulu Papar bagi menyediakan sumber tenaga boleh diperbaharui kepada penduduk.
Inisiatif berkenaan diteruskan pada 2025 menerusi kerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Sabah bagi memberi peluang kepada komuniti pekak menyertai festival berkenaan secara aktif.
Kerjasama itu turut menzahirkan komitmen Lampoopalooza untuk memastikan festival berkenaan dapat dinikmati secara lebih mudah dan inklusif oleh pelbagai lapisan masyarakat.
Pada tahun ini, kerjasama dengan Persatuan Orang Pekak Sabah diteruskan, manakala inisiatif kemasyarakatan turut diperluas ke Kudat.
Pada 30 Julai lalu, pegawai STB menyerahkan hampir 200 tong air kepada wakil WWF-Malaysia di Kudat untuk diagihkan kepada komuniti setempat.
Tong berkenaan kemudiannya diagihkan kepada wakil masyarakat dari Kampung Tajau Laut, Kampung Perpaduan, Kampung Berungus dan Kampung Tigabu bagi memastikan bantuan itu dapat dimanfaatkan untuk keperluan harian penduduk.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata acara pelancongan perlu melangkaui matlamat menarik kedatangan pelawat dengan turut mewujudkan peluang kepada masyarakat setempat untuk mendapat manfaat dan mengambil bahagian.
“Ketika kita terus membangunkan Sabah sebagai destinasi pelancongan pilihan, adalah penting aktiviti pelancongan turut mewujudkan nilai kepada komuniti yang menjadi sebahagian daripada destinasi berkenaan.
“Inisiatif seperti ini menyediakan ruang kepada pemain industri pelancongan untuk bekerjasama dengan komuniti dan organisasi bagi memenuhi keperluan praktikal, selain meningkatkan kesedaran mengenai keterangkuman dan penyertaan masyarakat,” katanya.
Beliau berkata, kementerian mengalu-alukan usaha yang menggalakkan kerjasama lebih erat antara industri pelancongan, organisasi kemasyarakatan dan komuniti setempat.
Katanya, kerjasama sedemikian mampu menyumbang kepada pembentukan persekitaran pelancongan yang lebih inklusif dan mampan di Sabah.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pelancongan Sabah, Julinus Jeffery Jimit, berkata Lampoopalooza bukan sekadar meraikan cahaya, kreativiti dan komuniti, sebaliknya turut memberi tumpuan kepada usaha mewujudkan manfaat bermakna kepada masyarakat.
“Sejak 2024, kami terus memasukkan inisiatif yang memberi manfaat bermakna kepada komuniti.
“Daripada menyokong masyarakat luar bandar di Pitas dan Ulu Papar, bekerjasama dengan komuniti pekak, sehingga memperluas sokongan praktikal kepada masyarakat di Kudat, kami berharap Lampoopalooza terus menjadi wadah yang menyatukan masyarakat dan memberikan impak positif melangkaui festival itu sendiri,” katanya.
Menerusi pelbagai inisiatif berkenaan, Lampoopalooza terus menghubungkan sambutan yang berlangsung di tengah-tengah Kota Kinabalu dengan komuniti di seluruh Sabah, sekali gus membuktikan acara pelancongan mampu menghasilkan impak sosial bermakna sambil menyatukan masyarakat melalui pengalaman bersama.- Info X