KOTA KINABALU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebuah lori Semi Trailer Kargo Am selepas didapati melakukan kesalahan memandu kenderaan barangan dalam tempoh larangan (road ban).
Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, kenderaan berkenaan ditahan semalam ketika sedang membawa muatan tujuh unit gelung aluminium.
“Tindakan Sita telah diambil di bawah Kaedah 2(1), Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengangkutan Barangan) RTR (PDGV).
“Kenderaan berkenaan terus dibawa ke SPK JPJ Telipok bagi tujuan timbang, pemeriksaan dokumentasi, siasatan serta tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, JPJ Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan undang-undang jalan
raya dipatuhi sepenuhnya oleh pengendali kenderaan barangan.
“Orang ramai diingatkan supaya sentiasa mematuhi peraturan yang ditetapkan demi keselamatan semua pengguna jalan raya,” katanya. – Info X