BEAUFORT: Sindiket penyeludupan minuman keras tidak bercukai yang menggunakan alur sungai muara dan kawasan tepi pantai sekitar Menumbok serta Kuala Penyu untuk mengelak dikesan pihak berkuasa akhirnya tumpas.
Dalam operasi khas hasil risikan itu, polis menahan lapan individu selain merampas 650 karton minuman keras pelbagai jenis dan tiga lori dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM785,263.50.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Champin Piuh berkata, operasi dijalankan Wildlife Crime Bureau/Perisikan Siasatan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman dengan bantuan Bahagian Siasatan Jenayah IPD Beaufort.
“Sindiket berkenaan dipercayai menggunakan laluan tidak diwartakan menerusi alur sungai muara dan kawasan tepi pantai sekitar Menumbok serta Kuala Penyu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, bagi tempoh 2025 hingga September tahun ini, sebanyak 16 kes direkodkan membabitkan 22 tangkapan dan nilai keseluruhan rampasan kira-kira RM1.43 juta.
Beliau berkata, polis akan terus mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu atau sindiket yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan bagi mengekang ketirisan hasil negara serta menjaga keselamatan perairan dan sempadan negara.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau jenayah rentas sempadan diminta menyalurkannya kepada balai polis berhampiran atau menerusi saluran rasmi PDRM. – Info X