KOTA KINABALU: Anak mendiang Datuk Peter Mojuntin iaitu Datuk Donald Peter Mojuntin berkata, laporan akhir nahas pesawat GAF – Nomad atau lebih dikenali tragedi ‘Double Six’ lebih banyak menimbulkan persoalan berbanding jawapan.
Donald yang bapanya antara terkorban dalam nahas berkenaan bersama ketua menteri pada waktu itu Tun Fuad Stephens, berkata, pelbagai persoalan muncul selepas beliau membaca laporan yang didedahkan kepada umum mulai hari ini.
Beliau berkata, apa yang dirahsiakan selama lebih empat dekad berhubung tragedi itu bukanlah sesuatu yang boleh mengancam keselamatan negara, berbeza berbanding sangkaan ahli keluarga yang berfikiran sebaliknya.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan laporan yang dikeluarkan hari ini bersifat anti klimaks selain menimbulkan lebih banyak persoalan yang memerlukan penjelasan lanjut daripada kerajaan.
“Laporan itu antara lain menyatakan bahawa lebih muatan dan juruterbang yang tidak cukup pengalaman, jadi bagi saya ia sesuatu yang bersifat anti klimaks dan menimbulkan lebih banyak persoalan berbanding jawapan.
“Kenapa laporan itu selama ini diklasifikasikan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), kami sebagai keluarga keliru. Kenapa pula sesuatu yang jelas atau tidak membabitkan keselamatan nasional atau kepentingan awam diklasifikasikan sebagai rahsia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Donald yang juga Timbalan Presiden Upko berkata, jika laporan itu dikemukakan selepas siasatan mengenai nahas berkenaan selesai pada 1976, ia tidak menimbulkan banyak tohmahan atau prasangka.
Katanya, jika laporan itu dikeluarkan empat dekad lalu, ahli keluarga mangsa juga lebih cepat menerima hakikat mengenai nahas yang menyedihkan ahli keluarga dan seluruh rakyat Sabah itu.
Sehubungan itu, Donald berkata selaku ahli keluarga mangsa tragedi itu, beliau mencadangkan agar kerajaan membentuk satu pasukan untuk mencari jawapan terhadap persoalan yang timbul.
“Antaranya kenapa laporan yang tiada kontroversi ini dirahsiakan selama ini atau mungkinkah ada sebab lain. Ini harapan kami selaku ahli keluarga.
“Selama ini fikiran kami tidak pernah tenteram memikirkan laporan nahas itu yang diklasifikasikan sebagai rahsia selama lebih empat dekad.
“Setiap tahun kita mengenang pemergian mereka yang terkorban pada tarikh 6 Jun dan selama itu juga kita tertanya-tanya mungkin berlaku sabotaj dan sebagainya menyebabkan hidup kami tidak tenteram,” katanya.
Bagaimanapun, Donald berkata pihaknya berterima kasih kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menyahklasifikasikan laporan nahas terbabit dan mendedahkannya kepada umum hari ini. – Info X