KOTA BELUD: Tindakan mencurigakan tiga lelaki melarikan diri sebaik menyedari kehadiran polis membawa kepada pembongkaran kegiatan pengedaran dadah di kawasan Kampung Kelawat, di sini, hari ini.
Serbuan dijalankan menerusi Ops Tapis Narkotik oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud.
Dalam operasi itu, polis turut merampas bahan disyaki dadah jenis syabu yang dipercayai untuk diedarkan.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, ketiga-tiga suspek berusia lingkungan 40 hingga 45 tahun dibawa ke IPD Kota Belud untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati ketiga-tiga suspek positif dadah jenis methamphetamine dan Amphetamine.
“Semua mereka ditahan reman di lokap IPD Kota Belud untuk tindakan lanjut sebelum dituduh di mahkamah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.
Sementara itu, Shahrudin berkata operasi seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk membanteras jenayah dadah dan penyalahgunaan ketum di daerah ini. – Info X